1-100 Daya

Aku mengemas meja yang bersepah, menyusun kembali file, meletakkan pen-pen dalam bekasnya, nota-nota kecil warna kuning aku teliti satu persatu dan renyukkan yang sudah tidak perlu. Minggu ini sangat sibuk, rasa macam hendak tercabut kepala memikirkan kerja-kerja yang semakin hari semakin banyak. Satu di Chick!, satu lagi projek model Elijah. Aku masih lagi punya 3 bulan di Chick!, sebelum aku cabut dan bekerjasama dengan Elijah. Tapi, sebenarnya dalam masa yang sama aku buat dua kerja ini. Siangnya di pejabat Chick! sibuk memerah idea untuk artikel-artikel yang diamanahkan, sambil membuat network untuk Elijah.

Tugasan dengan client pertama Elijah akan bermula minggu depan, semalam ke butik untuk fitting baju Elijah, dan aku ambil masa menyelongkar stor Chick! mencari Chick! Edisi Lelaki untuk Elijah baca dan tiru gaya model berjalan dan bergaya depan kamera. Memang dia kacak dan tampan, tapi kalau kaku macam batang kayu, impian nak jadi supermodel hanya sia-sia. Client pertama ialah sponsor Chick!, mahu buat photoshoot di Bali minggu depan, dan aku akan buat laporan tentang photoshoot itu. Untung betul Elijah, entah mana puaka merasuk sponsor itu, beria-ria mahukan Elijah. Untung juga aku kenal Elijah, suka benar tengok muka Miss Wirda berubah penuh marah bila sponsor mahukan aku yang ikut Elijah ke Bali.

Aku hempaskan punggung ke kerusi, bersandar kepenatan.

Aku mahu biarkan semuanya berjalan seperti ini. Fokus pada kerja dan biarkan semua masalah dilupakan buat sementara.

Sejak berjumpa Suzie tempoh hari, Erik belum telefon atau datang ke rumah. Aku pun sudah penat menunggu, kalau ini yang diinginkan, aku ikut sahaja digantung tidak bertali.

Buat masa sekarang, aku ada Elijah. Dan aku tempiaskan marah dan kecewaku pada Miss Wirda. Biar dia tahu siapa aku!

Kerja jadi tempat aku lupakan cinta.

Berdayakah aku?

0 gossip (s):