1 - 114 Harley

Aku belek blaus yang aku pakai. Ini pemberian Rosa. Ya, Kak Rosa. Entah berapa lama aku tak hubungi dia. Apalah khabarnya? Aku risau pada dia, tapi..aku kasihan juga pada Harith. Apa masalah mereka, aku sendiri kurang faham.. Tapi kenapa sampai begini? Kenapa semua orang lebih senang lari dari masalah? Mia, sudah lari tinggalkan Elijah. Rosa, lari jauh dari Harith. Aku? Aku lari? Lari dari siapa? Entah. Aku bukan lari, aku cuma.. Entah. Aku mahu lebih ruang untuk berfikir. Dan aku rasa aku sudah fikir sebaik-baiknya.


Aku menghela nafas yang berat.

Matahari sudah tegak di langit. Titis-titis peluh sudah mula merembes di leher. Harley akan tiba tak lama lagi. Aku pinta dia untuk datang ke tepi tasik ini. Dia menolak, katanya hendak terus bawa barang-barang aku dan jemput dari rumah Suri. Itulah Harley, dalam kelembutan ada ketegasan.


Aku genggam erat tanganku. Sejak Rosa tiba-tiba menghilang, tinggalkan aku sendiri kembali…aku kumpul kekuatan baru. Aku perlu. Aku mesti. Dan hari ini, aku akan beritahu pada Harley. Semua yang terbuku. Semua yang mengganggu.

Aku sayangkan dia.

Sayang.

Itu yang akan aku beritahu.

Sayup-sayup aku nampak bayang Harley menapak ke arahku.

***

“Hai!” aku senyum paksa.

“Jom lah. Tercegat apa lagi ni?”

“Bang, we need to talk.”

“Wah, ni mesti serius ni, dah speaking! Sembang dalam kereta pon boleh, jom…” Harley cuba tarik lengan aku

Aku tercegat depan Harley, hanya satu kaki.

“Lya tak nak pindah. Lya nak stay.”

“Sebab?”

“Sebab…..” aku menarik nafas yang panjang.

“Lya dah jumpa adik tiri Lya. Nama dia Olan. Mak dia baru meninggal. Dia hidup susah. Lya rasa nak tolong Olan mana yang termampu. Sian dia bang. So, Lya ingat takmo pindah”

Muka Harley tenang. Pelik! Kenapa Harley tak marah macam selalu?

“Dia adik Lya bang..Lya tak sampai hati pulak nak pindah macam tu je.. Lagipun Lya dah janji ngan dia nak tolong dia”

“Lya..abang ada satu soalan. Kali ni, tolong jawab ikhlas. Pandang mata abang. Jangan tipu. Janji?”

Ah, sudah! Apa pulak ni?

“Janji?” tanya Harley lagi.

Aku angguk sambil pandang tepat pada sepasang mata kecil Harley yang sudah mula berkaca. Oh Tuhan, apa yang berlaku ni?

“Lya…terus terang dengan abang..Lya tak nak kawin dengan abang ke?” Lembut suara Harley, tapi entah kenapa rasa hati bagai disiat-siat.

“Lya…Lya dah janji kan?”

Aku diam.

“Lya..” Harley kuatkan suara. Ada getar di suaranya. Entah marah, entah sedih. Aku tak tahu.

“Lya sayangkan abang” aku terketar-ketar entah kenapa. Ah, kenapa aku jadi bingung hari ni?

“Lya, answer the question..”

“Maafkan Lya bang..”aku terus jadi sebak. Aku tidak lagi pandang ke sepasang matanya yang berkaca. Aku pandang ke tanah. Tanah yang sudah dititisi air masin dari sepasang kelopak mata. Ya, mata aku.

“Lya tak jawab soalan” Harley menahan marah agaknya. Suaranya kasar.

“Oklah, abaikan soalan abang. Jom ambik barang, abang tolong Lya pindah. Lepas tu boleh diskas pasal kahwin dalam kereta”

Lagi lagi kahwin. Lagi lagi kahwin. Takde benda lain ke?

Aku seka air mata. Aku kena hentikan semuanya sekarang. Aku kena hentikan penderaan atas diri sendiri. Dan penderaan atas Harley.

“Bang, Lya mintak maaf. Lya sayang abang. Lya terhutang budi banyak dengan abang…” suara aku tersekat. Aku mengumpul segala kekuatan.

“Selama ni abang banyak sangat bagi semangat kat Lya, sentiasa bantu Lya, sentiasa sayang Lya. Lya sangat-sangat hargai semuanya bang. Sebab ada abang, Lya tak sorang-sorang..” aku seka air mata. Ayat-ayat itu aku lafazkan satu persatu dengan jelas. Tiada lagi sendu.

“Tapi bang…Lya tak boleh..Lya tak boleh kawin dengan abang. Lya sayang abang tak lebih dari sayang pada seorang abang.” kali ini aku pandang mata Harley.

Harley seperti terkejut. Agaknya ini kali pertama aku bernada sebegini.

‘Maafkan Lya, abang,’ aku sambung. Jangan ditanya apa aku rasa di dalam hati. Remuk. Tapi aku katakannya tanpa setitis air mata. Dan kali ini aku tidak rasa bersalah.

‘Ini ada kaitan dengan adik Lya ke? Abang boleh bagi Lya masa…’

Aku potong kata-kata Harley. ‘Tak! Ini takde kena mengena dengan Olan!’

Harley kaku.

Aku pandang tepat anak mata Harley seperti yang dia pinta. ‘Abang, Lya buat semua ni untuk diri Lya. Lya harap abang dapat hormati keputusan Lya.’

Ada lelaki lain ke?’ Harley mula serkap jarang.

‘Abang!’ aku tegas. Tidak menjerit. Hanya tegas. ‘I’m not in love with you’.

Harley tersentak. Dia mengurut kepalanya sebelum memandang wajahku.

‘Bye Lya. Semua… palsu’ tidak jelas apa yang Harley katakan. Tapi dia berpaling dan berjalan menjauhi aku.

Harley tinggalkan aku tercegat macam batang kayu. Kereta Harley meluncur laju meninggalkan aku. Aku pandang kelibat kereta Harley sampai luput dari penglihatan.

Aku mahu menangis. Sederas-deras yang boleh. Tapi aku sudah penat. Penat buat ini dan itu untuk orang lain. Saat ini aku punya kekuatan untuk pentingkan diri sendiri. Biarlah kali ini aku pula yang bahagia.

0 gossip (s):