Olan.
Nama Olan bermain-main dalam kepala aku.
Kepala otakku bercelaru.
Olan.
Adik?
Bila masa aku ada adik?
Olan tiba-tiba muncul di depan pintu aku siang tadi. Sekilas pandangan seperti melihat cermin. Ya, macam aku versi lelaki. Pak Mat berdiri di sebelahnya.
Ayah?
Ayah dah meninggal. Baru meninggal tiga bulan lepas. Encik Osman, ayah Olan, ayah aku, ayah kami. Ayah yang aku tidak pernah kenal dan tidak akan kenal sampai bila-bila.
Emak?
Emak kandung Olan, emak tiri aku hidupnya susah sejak ayah lumpuh sebab kemalangan. Membanting tulang empat kerat untuk jaga suami yang dulunya kerja sendiri dan anak yang masih sekolah.
Kenapa cari aku?
Ayah pernah pesan supaya Olan cari mak aku. Sekarang, emak Olan tak sihat dan Olan terkapai-kapai sendiri.
Macam mana dapat cari aku?
Nama mak, nama aku dan alamat rumah lama ada dalam buku catitan ayah. Katanya jiran beri maklumat aku di sini.
Pak Mat?
Pak Mat kawan ayah. Pak Mat kenal ayah Olan, kenal ayah aku! Pak Mat yang aku jumpa hampir setiap hari di sekolah dulu kenal ayah aku. Kalaulah aku tahu, pasti aku sempat berjumpa ayah.
Alangkah bagus kalau dunia ini tak sekecil yang kita sangka. Alangkah bagus kalau hidup ini indah-indah saja, tiada berita mengejutkan, tiada benda menyedihkan, tiada perkara yang meresahkan.
Aku cuba kuatkan semangat ketika berbual dengan Olan. Mata Olan berkaca-kaca. Hatinya berkecamuk, suaranya seperti orang putus harapan.
"Olan takde sesiapa kak"
"Kakak faham..."
Ya, aku faham bagaimana rasa sendiri, bagai semut hitam yang kecil di bumi yang besar ini. Rasa sepi. Rasa sendiri. Rasa tidak mampu buat apa-apa. Rasa lemah.
Aku hulurkan RM50 pada Olan sebelum dia balik. Aku mahu beri lebih, tapi aku sendiri menumpang di rumah Suri, hidup sendiri bergantung pada orang.
Aku masih resah dan teringatkan Olan walau sudah 3 jam masa berlalu.
Apa yang aku patut aku lakukan…Aku…
“Hello?”
“Hello Lya, abang ni. Barang semua dah siap? Esok abang turun sana, kita angkut barang sesama”
“Olan, kalau ada apa-apa telefon kakak. Kakak akan cuba bantu Olan apa yang termampu”
Janji yang aku beri pada Olan. Perlukah aku sia-siakan Olan seperti ayah persia-siakan aku dan mak?
“Bang, Lya ada benda nak bagitau…”
Sepi di hujung talian
“Lya rasa, Lya taknak pindah sana lah…Lya...”
“Esok abang turun sana, kita angkat barang sama-sama”
Gagang terus diletakkan.
Aku hela nafas panjang-panjang.
Odelia, sampai bila. Sampai bila mahu jadi pengecut?
Aku bangun menuju ke arah Suri.
"Suri, esok teman aku pegi cari kerja?"
Aku terus masuk semula ke dalam bilik dan terus kemaskan pakaian, meninggalkan Suri terlopong di ruang tamu.
Aku dah buat keputusan. Lantaklah apa nak jadi. Aku sudah nekad. Kali ni aku benar-benar nekad. Percayalah.
1-108 Olan
Labels: Odelia Osman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment