1-111 Di Terminal

Kapal terbang daripada Paris sudah setengah jam mendarat, sebaik sahaja melepasi pemeriksaan Imigresen, aku dan Elijah melangkah untuk menuntut bagasi. Di terminal pagi itu masih belum sesak, mungkin kerana penerbangan daripada kami daripada Paris tiba awal pagi. Penumpang yang menunggu untuk berlepas masih belum ramai, aku perasaan termasuk kami hanya dua penerbangan yang tiba pada pagi itu, satu lagi daripada London.

Beg bimbit LV aku sandang erat, Elijah pula hanya menyandang beg sandang dibelakangnya, bagasi belum sampai. Elijah menghilang pergi mencari troli, sementara aku hanya menunggu di kawasan rel bergerak yang belum terisi. Tidak lama kemudian, beg-beg daripada penerbangan kami mula berpusing di atas rel bergerak warna hitam itu. Aku menjenguk-jenguk, kalau-kalau bagasi kami antara yang terawal, namun tidak kelihatan. Elijah kembali membawa troli, berdiri disebelahku. Masing-masing diam, perjalanan yang memakan masa hampir 12 jam itu memang memenatkan. Kakiku terasa letih, nasib baik hanya kasut balerina yang aku pakai, tidaklah memeritkan jika hendak dibandingkan dengan kasut tumit tinggi. Elijah membuka jaket kulitnya, suhu dalam terminal tidak sesejuk kota Paris, membiarkan t-shirt putih CK menutupi tubuh sasanya, dan jeans biru. Ada beberapa mata memandang, mungkin mengenali Elijah, yang wajahnya semakin banyak terpapar di iklan sekarang.

Rambutku yang dibiarkan lepas, aku ikat menjadi tocang satu. Cermin mata hitam aku sarungkan, menutup mata sembab yang tidak cukup tidur. Kepalaku mula merasa pening, tidak sabar rasanya hendak pulang ke Rumah No 54 dan berehat. Tangannku jatuh lepas ke leher, tersentuh rantai berlian pemberian Erik. Sedikit tersentak. Sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu.

Elijah menunduk ke depan, mengangkat tiga bagasi milik kami yang kebetulan berada dalam jarak yang sama. Sebaik sahaja mendapatkan bagasi, kami mula melangkah keluar.

‘Coffee?’ ajak Elijah sebaik sahaja kami berada di kawasan kedai-kedai dalam terminal. Aku mengangguk setuju, kopi mungkin dapat mengurangkan sedikit pening kepala yang aku alami sekarang. Kami menuju ke Starbucks di lot tepi terminal. Aku memesan coppacino dan Elijah single shot espresso. Kami duduk di sofa di ruang tengah kedai, menyandarkan diri di sofa empuk, melepaskan lelah seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Rumah No 54. Aku duduk menghadap luar kedai, manakala Elijah menghadap dalam ruang kedai. Dari tempat aku duduk, ada bilboard Elijah sebagai model iklan pakaian Tom Barker, aku mencuit tangan Elijah dan memuncungkan mulut ke arah bilboard tersebut. Elijah memandang dan tersenyum sebelum menggeleng-geleng kepala. Dia kembali membaca surat khabar sambil bersandar dan kakinya disilangkan. Pelayan-pelayan Starbucks itu berbisik sesama mereka, mungkin sudah menyedari bahawa model di bilboard itu adalah lelaki sama yang sedang berehat di sofa dalam kedai mereka.

Aku memejamkan mata, membuat perkiraan mental tentang tugasan seterusnya di Chick! dan projek-projek modeling untuk Elijah. Buka kembali mata, aku capai organizer dalam beg tangan dan mula menyemak tarikh-tarikh penting. Walaupun ada blackberry, aku lebih old-fashion dalam jadual hidup, lebih suka mencatat dalam organizer daripada memo dalam blackberry.

Tangan Elijah tiba-tiba mencapai organizer tersebut, menutupnya, dan menyembunyikannya di sisi sofa.

‘hei..’ aku sedikit terkejut.

‘stop working. stop thinking. just relax’ dia membalas, tetapi dia tidak melepaskan pandangan daripada surat khabar yang sekarang terbentang di atas meja kopi antara kami. Aku mendengus geram, cuma kepenatan buat malas hendak bertekak dengan Elijah. Selalu dia nasihatkan supaya jangan bekerja keras. Kalau aku tidak bekerja keras, tidak mungkin Elijah mampu mendapatkan job dengan jenama terkenal, dalam masa hanya beberapa bulan sahaja, jobnya sudah merentas benua. Kalau aku ikut katanya, alamatnya tidak merasalah hendak bergaya untuk jenama-jenama yang punya kelas. Geram betul aku, nanti aku nak dapatkan job Giant untuk Elijah, biar dia bergaya dengan pakaian-pakaian murah dengan rekaaan yang teruk. Padan muka!

Aku mengalihkan pandangan ke luar kedai. Mataku membulat, nafasku kencang menahan sesak dada, terasa ada darah yang menyusup keluar dari tubuh, meninggalkan aku tanpa nyawa dan jiwa. Elijah memandangku.

‘Hei, are you ok?’ Dia bertanya melihatkan aku yang tidak berkelip. Dia memandang keluar kedai.

‘So, that’s him ek’ Ulas Elijah. Aku masih lagi terdiam tidak mampu membalas. Di luar sana, di antara gerai-gerai yang menjual cenderahati. Erik dan Suzie sedang berdiri. Erik memimpin tangan Suzie yang sedang memboyot kembung. Sesekali Erik mengucup pipi Suzie yang semakin ‘glowing’.

‘Tanggalkan rantai berlian’ Perintah Elijah keras. Aku pula yang tidak mampu berfikir mengikut sahaja arahan Elijah. Aku tanggalkan dan berikan kepada Elijah.

‘Come on. Let’s finish this’ Elijah menarik aku bangun, tangan kanannya dipautkan pada pinggangku dan dengan tangan kiri dia menolak troli berisi bagasi kami. Elijah memeluk pinggangku dan seolah menarik aku pergi lebih dekat kepada Suzie dan Erik yang tidak menyedari kami semakin menghampiri.

Stop it Elijah!Stop!

Semua jeritan itu hanya kedengaran dalam jiwaku, mulutku terasa lumpuh, seolah lidah sudah tidak berhenti berfungsi seperti mana otak yang semakin tidak dapat berfikir. Hanya beberapa langkah menghampiri Suzie dan Erik, mereka berdua serentak memandang aku dan Elijah. Muka mereka berdua berubah.

‘Owh, sorry..’ Elijah buat-buat menekan pedal pada troli yang menghentikan troli itu. Tangannnya masing memegang erat pinggangku, sesekali dia mengucapkan sesuatu dan menoleh padaku. Aku lihat Erik juga membalas sesuatu manakala Suzie lebih banyak mendiamkan diri. Butir-butir perbualan mereka aku tidak dengar, bukan kerana jauh sampai telinga aku tidak dapat menangkap suara mereka. Tetapi masa seolah berhenti bergerak, bunyi dan nada semuanya menjadi bisu, yang kuat bunyinya hanyalah degup jantung dan esak tangis aku dalam hati. Sebelum semuanya sempat aku hadam, aku lihat Elijah dan Erik bersama. Elijah meninggalkan sesuatu dalam telapak tangan Erik, sebelum menarik aku, malah sebenarnya tangannya menyokong aku daripada terjelupuk ke lantai.

Kami meneruskan langkah ke luar terminal, Elijah menahan teksi, dan mengangkat bagasi kami ke dalam but teksi itu. Aku masuk ke dalam perut teksi dan mendiamkan diri. Aku tidak tahu apa yang sepatutnya aku rasa. Aku geram, aku marah, aku sedih, aku lali dengan perasaan sendiri. Sebaik sahaja Elijah masuk duduk disebelahku, teksi memecut laju.

‘What have you done?! You have no rights whatsoever!’ aku tiba-tiba menjerit sambil kepal-kepal penumbukku aku halakan ke dada Elijah. Pemandu teksi memandang melalui cermin, tetapi Elijah menunjukkan isyarat kepada pemandu supaya tidak campur tangan. Esak tangis aku makin kuat, ditambah dengan penumbuk yang semakin keras kepada Elijah.

Elijah menarikku rapat ke dadanya, mengusap ubun-ubun rambutku lembut. Mulutnya tidak habis-habis berbunyi ‘syohh’ untuk mendiamkan aku. Tanganku mencengkam erat lengannya, aku menangis teresak dalam pelukan Elijah.

‘It will be alright. It will be find. Just cry’ Lembut suara Elijah memujukku. Aku menahan getar dalam pelukannya. Tangisanku makin kuat, aku benamkan kepalaku atas dadanya. Bila aku dengar degup jantungnya, aku menjadi tenang, apakah bunyi jantung orang yang patah hati semuanya sama? Sehingga bila mereka bertemu antara satu sama lain, ada ikatan antara mereka terjalin kerana hati mereka yang patah, dan kerana itu mereka boleh jadi akrab, jadi sahabat?

‘Thanks’ suaraku perlahan sekali. Elijah mengemaskan peluknya. Dalam teksi menghala ke Rumah No 54, ada dua hati yang berdegup, yang rentaknya berlainan kerana dikecewakan sebegitu hebat.

1-110 Ditelan Kelam Sungai Seine

Menara Eifel malam ini cantik sekali digemerlapi neon biru berkelip-kelip. Sejam sekali, neon biru menjelma, berkelip bak bintang langit membentuk simetri tiga segi yang terpahat atas bumi. Besi-besi yang di bina bertingkat-tingkat, seolah lambang kerja keras yang diperlukan untuk mencappai puncak. Langit musim panas terang malam ini, angin juga bertiup sesedap rasa, sesekali menggigit tulang hitam. Dari tingkap bilik hotel di 17 Rue de l'Exposition, aku cuma berbaring atas katil, menyelimutkan diri dalam selimut tebal. Penat seharian shooting bersama Elijah masih belum hilang, cuma entah mengapa mata degil betul untuk pejam. Esok hari terakhir di Paris, sebelum pulang semula ke rumah no 54. Tugasan kali ini mencabar, selain shooting bersama Elijah untuk koleksi terbaru Parmesan, terpaksa juga berjalan-jalan di sekitar Paris, menjadi paparazi, mengambil gambar wanita-wanita cantik paris yang sentiasa berfesyen cantik. Street fashion untuk dipaparkan di Chick! keluaran bulan depan adalah ideanya. Berhempas pulas juga aku mempertahankan idea ini kepada Miss Wirda yang sentiasa mahukan paparan fashion kelas tinggi. Bagi aku, fashion patut lebih luas skopnya, bukan sekadar jenama yang dijual, tetapi juga style sendiri. Lagipun, bukan semua yang membaca Chick! mampu membeli baju-baju, kasut-kasut dan aksesori berjenama setiap bulan. Aku mahu sediakan pilihan, supaya semua orang boleh bergaya dalam kemampuan masing-masing. Seminggu berkerja tanpa henti, malam ini mata tidak mahu terpejam pula.

Telefon berdering. Aku angkat, senyap sahaja di hujung sana.

‘Hi, ingat you dah tidur’ Suara garau Elijah kedengaran daripada hujung talian. Aku membetulkan baring, ganggang telefon ditahan dengan lengan, mengangkat sedikit tubuh untuk bersandar di kepala katil.

‘Belum, tak boleh tidur’ Jawab aku, baik juga Elijah telefon, kalau dibiarkan lama-lama bersendiri, boleh gila dibuatnya.

‘Jom keluar, malam muda lagi’ Ajak Elijah. Aku pandang jam dinding, baru jam 9 malam, memang malam masih muda. Berfikir sebentar sebelum memutuskan untuk keluar, mungkin pergi bersiar-siar di Kota Paris malam hari bukanlah idea yang buruk, lagipun Elijah ada.

‘Ok, bagi i setengah jam untuk bersiap’

‘I tunggu di lobi’ balas Elijah, sebelum meletakkan telefon.

Aku bergegas bangkit, menuju ke bilik air untuk menyegarkan diri. Kembali ke almari pakaian, memilih pakaian. Jeans biru, shirt putih dengan simbol hati di dada, serta cardigan warna kuning cair aku capai. Kasut ballerina aku sarungkan untuk keselesaaan. Aku semburkan haruman sedikit, dan mekap nipis. Kemudian mencapai purse dan bergegas menuju ke lobi.

Elijah menunggu di lobi, rambutnya dibiarkan berserabut tetapi kemas, jaket kulit hitam dan t shirt putih dan jeans biru menyerlah kekacakkannya. Aku tersenyum dari jauh, dia melambai ringkas.

‘Sorry, lama tunggu’

‘Tak apa, i pun baru turun’ Balasnya sambil tersenyum, menampakkan gigi putih di sebalik bibir merah delima miliknya. Mata hijaunya nampak aneh sekali malam ini, bersinar terang. Mukanya nampak keletihan, aku pasti begitu juga wajah aku. Cuma masing-masing tidak boleh berehat walau keletihan yang amat.

‘Mahu kemana?’ Soalnya padaku. Aku mengangkat bahu, tanda tidak tahu.

‘Ikut you, kemana pun boleh’

Dia hanya diam, kami menuju ke luar hotel, berpusing ke kanan, tanpa hala tuju, mengikut kaki melangkah. Aku peluk tubuh sendiri, Elijah pula memasukkan tangannya dalam poket jaketnya. Angin malam berderu dingin, musim panas selalu begini, dingin malam tidak pernah mesra.

‘ Berapa lama lagi you dengan Chick!?’ Soal Elijah, mukanya memandang depan. Ramai orang sedang berjalan-jalan juga, ada yang berteman, ada yang sendirian. Ada yang bergelak ketawa beramai-ramai, ada yang diam merenung jauh sambil berjalan. Manifestasi kegembiraan berbeza-beza layaknya untuk semua. Kita, manusia punya padang yang berbeza-beza untuk menjalani hidup masing-masing. Harapnya, rumpu di padang hidup kita juga tidak kurang hijaunya daripada padang orang lain.

‘ Sebulan. Lepas tu, tak pasti lagi hendak ke mana’ Balasku terus terang. Selepas habis praktikal di Chick! aku tidak pasti mahu kemana. Hubungan dengan Miss Wirda juga tidak berapa elok, menipiskan harapan untuk di ambil bekerja di Chick!. Walaupun Elijah menawarkan kerja sebagai pengurusnya, aku juga tidak pasti. Aku mahu bekerja sebagai wartawan fashion, itu harapnya. Menguruskan Elijah bukan tidak bagus, cuma tidak kena dengan gayaku. Ditambah lagi dengan projek yang masuk bertalu-talu selepas Elijah bersetuju menjadi model, kesibukan nya aku tidak gemari. Makanya, masa depan kerjaya belum pasti ke mana arahnya.

‘ Tak mahu terus bekerja dengan i?’ soal Elijah. Sudah aku jangka soalan ini ditanya. Malah, Elijah sudah beberapa kali memberikan hint tentang ini.

‘Tidak pasti lagi, i tak putuskan apa-apa’

‘Kenapa? Tak best kerja dengan i?’

‘Bukan. Best! I just need more time’ Balasku. Aku pandang mukanya, dia tersenyum sekali lagi. Elijah sudah banyak berubah, mungkin menjadi model menyebabkan dia lebih banyak tersenyum dan lebih banyak berkata-kata. Atau mungkin juga semua ini hanya pesona yang dibuatnya untuk mengaburi penderitaannya. Aku tidak pasti, tetapi yang penting, aku gembira melihatnya begini.

Kami tidak banyak bercakap selepas itu, masing-masing melayan rasa sendiri. Kaki yang melangkah perlahan juga tidak mengikut arahan otak, tidak tahu kemana di tuju. Sedar-sedar selepas menelusuri jalan-jalan sempit antara celah-celah bangunan, kami sampai di taman bawah Menara Eifel menghadap Sungai Seine. Menara yang dilihat daripada tingkap hotel tadi, nampak jelas di hadapan mata sekarang.

‘Cantik’ Kagum Elijah. Nasib mungkin, terdapat bangku kosong di taman. Kami melabuhkan punggung, melepaskan lelah dan penat yang semakin bertambah.

‘Cantik, tapi tiruan’ Ulasku. Elijah mengangguk bersetuju.

‘Macam kita?’ soalnya. Aku pandang tepat ke arahnya, dia tersenyum kelat.

‘Macam kisah kita’ balasku perlahan. Wajah Erik tiba-tiba melintas dalam kepalaku. Sudah lama tidak bertandang lelaki seorang itu, aku pula sengaja menyibukkan diri, enggan memikirkan tentangnya. Elijah menggengam tanganya erat, meraut wajahnya sendiri. Aku pasti dia juga punya masalah sendiri untuk difikirkan.

‘ Hidup begini agaknya, nampak cantik tetapi palsu’ Elijah mula bersuara.

‘Kita yang tentukan, salah sendiri’ Aku mengulas, enggan menyalahkan hidup yang memang sifatnya tidak pasti.

‘Salah sendiri’ Elijah mengumam perlahan, bibirnya digigit perlahan. Aku memeluk tubuh, cardigan ditarik supaya merapati tubuh dengan lebih kejap.

‘Jadi, apa rancangan you? selepas i takda’ Soalku pada Elijah. Aku dan dia tahu selepas bulan ini, aku tidak akan lagi menguruskannya. Dia terpaksa mencari orang lain untuk menguruskan jadualnya dan mencari projek.

‘ You pun tahu, i susah nak percaya orang. So, maybe I daftar dengan agensi. Lebih mudah. Lagipun, Ford dan Elite sudah offer kontrak’ Jawabnya. Memang Agensi Model Ford dan Elite sudah menawarkan kontrak pada Elijah. Lebih tersusun kareernya nanti. Cuma masalahnya, Ford mahu dia berpangkalan di Milan, Elite pula di New York. Sedangkan Elijah tidak mahu ke mana-mana, mahu terus menetap di Jalan Pemberley.

‘You sedia tinggalkan Rumah 54?’ Aku tahu rumah itu ada banyak kenangan pada Elijah. Seolah seluruh kiash hidupnya berputar-putar di situ.

‘For greater good, i guess’ Dia menjawab perlahan, memandang aku dari sisi.

‘Yeah, untuk kebaikkan sendiri’

Menara Eifel masih lagi sesak dengan pelancong-pelancong. Sibuk mengambil gambar dan berteriak gembira setiap kali neon biru memercik cahayanya di besi-besi Eifel menerangi langit malam Kota Cinta ini.

Elijah bangun, berjalan menuju ke Sungai Seine, aku mengikut dari belakang. Kami meletakkan tangan di tembok sepangjang sungai, dan merenung jauh ke bawah. Gelap Sungai Seine malam itu bak hati kami. Dibawah sinar-sinar neon Eifel yang gemilang, ada dasar gelap yang mendasari membentuk semua kawasan. Semua orang ada kisah pahit, tetapi yang selalu ternampak cumalah gembira dan keindahan persona. Apa mungkin aku, dan mungkin Elijah akan tenggelam dalam dasar gelap sendiri dalam hidup kami yang semakin cemerlang materialnya?

1-109 Dengar kata

Aku dengar cerita Rosa sudah mula bekerja di London. Itu kata tukang kebunnya.

Semalam aku kuatkan diri untuk berjumpa dengan Dato' Malik. Sudah beberapa lama dia jemput aku ke pejabatnya, tapi aku berikan alasan sibuk kerja. Dato' Malik beritahu aku yang Rosa masih lagi belum buat keputusan sama ada hendak kerja di sana ataupun kembali ke sini.

Aku pun tak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Tiga hari lepas aku telefon Imran. Baru aku beritahu dia apa yang terjadi.

'This is a real telenovela here!!' Imran ketawa, menyindir. Aku sudah mampu tersenyum.

'Yea, I know,' kataku.

'So you went to London just to get back a girl?' tanya Imran.

'Yes.'

'How rich are you! How pathetic that is?' sambung Imran lagi.

Kali ini aku mampu ketawa. 'Well, I'm not rich, as you know it. Dato' Malik bayarkan'.

'Oooh. Hahaha,' Imran ketawa, tidak habis menyindir. 'So, free travel la nih?'

'Well, to look it back, the stupidiest part should be ... sebab aku tak berjalan-jalan pun kat London tu. Just pergi dan balik'.

'You are a sore loser!!!', kata Imran.

'I know it now,' balasku.

Aku tahu. Dalam diari cinta, terbang beribu batu demi memujuk seorang wanita pulang : sangat romantik. Tapi benar, itu semua kerja gila. Dan aku sudah pun lakukannya.

Entahlah. Pada saat ini, aku biarkan saja. Hari demi hari, rasa sakit ini semakin kurang. Cuma aku sedikit kasihan pada Odelia. Terus bertanya sama ada Rosa sudah pulang atau belum. Walaupun aku tak pasti, aku beritahu Odelia, 'I believe she'll be home. Give her some time ya'.

1-108 Olan

Olan.
Nama Olan bermain-main dalam kepala aku.
Kepala otakku bercelaru.

Olan.
Adik?
Bila masa aku ada adik?

Olan tiba-tiba muncul di depan pintu aku siang tadi. Sekilas pandangan seperti melihat cermin. Ya, macam aku versi lelaki. Pak Mat berdiri di sebelahnya.

Ayah?
Ayah dah meninggal. Baru meninggal tiga bulan lepas. Encik Osman, ayah Olan, ayah aku, ayah kami. Ayah yang aku tidak pernah kenal dan tidak akan kenal sampai bila-bila.

Emak?
Emak kandung Olan, emak tiri aku hidupnya susah sejak ayah lumpuh sebab kemalangan. Membanting tulang empat kerat untuk jaga suami yang dulunya kerja sendiri dan anak yang masih sekolah.

Kenapa cari aku?
Ayah pernah pesan supaya Olan cari mak aku. Sekarang, emak Olan tak sihat dan Olan terkapai-kapai sendiri.

Macam mana dapat cari aku?
Nama mak, nama aku dan alamat rumah lama ada dalam buku catitan ayah. Katanya jiran beri maklumat aku di sini.

Pak Mat?
Pak Mat kawan ayah. Pak Mat kenal ayah Olan, kenal ayah aku! Pak Mat yang aku jumpa hampir setiap hari di sekolah dulu kenal ayah aku. Kalaulah aku tahu, pasti aku sempat berjumpa ayah.

Alangkah bagus kalau dunia ini tak sekecil yang kita sangka. Alangkah bagus kalau hidup ini indah-indah saja, tiada berita mengejutkan, tiada benda menyedihkan, tiada perkara yang meresahkan.

Aku cuba kuatkan semangat ketika berbual dengan Olan. Mata Olan berkaca-kaca. Hatinya berkecamuk, suaranya seperti orang putus harapan.

"Olan takde sesiapa kak"
"Kakak faham..."

Ya, aku faham bagaimana rasa sendiri, bagai semut hitam yang kecil di bumi yang besar ini. Rasa sepi. Rasa sendiri. Rasa tidak mampu buat apa-apa. Rasa lemah.

Aku hulurkan RM50 pada Olan sebelum dia balik. Aku mahu beri lebih, tapi aku sendiri menumpang di rumah Suri, hidup sendiri bergantung pada orang.

Aku masih resah dan teringatkan Olan walau sudah 3 jam masa berlalu.

Apa yang aku patut aku lakukan…Aku…

“Hello?”
“Hello Lya, abang ni. Barang semua dah siap? Esok abang turun sana, kita angkut barang sesama”

“Olan, kalau ada apa-apa telefon kakak. Kakak akan cuba bantu Olan apa yang termampu”

Janji yang aku beri pada Olan. Perlukah aku sia-siakan Olan seperti ayah persia-siakan aku dan mak?

“Bang, Lya ada benda nak bagitau…”

Sepi di hujung talian

“Lya rasa, Lya taknak pindah sana lah…Lya...”

“Esok abang turun sana, kita angkat barang sama-sama”

Gagang terus diletakkan.

Aku hela nafas panjang-panjang.

Odelia, sampai bila. Sampai bila mahu jadi pengecut?

Aku bangun menuju ke arah Suri.

"Suri, esok teman aku pegi cari kerja?"

Aku terus masuk semula ke dalam bilik dan terus kemaskan pakaian, meninggalkan Suri terlopong di ruang tamu.

Aku dah buat keputusan. Lantaklah apa nak jadi. Aku sudah nekad. Kali ni aku benar-benar nekad. Percayalah.

1-107 Lama

Entah berapa minggu sudah berlalu. Hanya baru-baru ini, baru aku mampu untuk 'get a grip'. Lihat segalanya yang telah berlaku. Biar semuanya yang terjadi.

Rosa masih di kota London. Aku sudah beberapa lama di Jalan Pemberley ini.

Tidak apa. Biarkan saja.

Ini kata-kataku kini. Hari-hari awal kepulanganku dari kota London sangat perit.

Aku tidak salahkan Rosa. Walau tindakannya melulu. Walau apa yang dia lakukan bukan seperti Rosa yang aku kenal.

Emotional breakdown. Itu yang berlaku. Mungkin salahku juga. Terlalu menganggap Rosa sebagai seorang yang cekal. Bisa lakukan apa saja. Mampu harungi kesukaran yang mendatang.

Hari aku pulang, aku khabarkan padanya, 'I'll wait for you if you ever come back'. Sudah beberapa minggu. Tanpa sebarang khabar berita. Entahlah. Kini aku tertanya, adakah aku masih rasa yang sama?