Kapal terbang daripada Paris sudah setengah jam mendarat, sebaik sahaja melepasi pemeriksaan Imigresen, aku dan Elijah melangkah untuk menuntut bagasi. Di terminal pagi itu masih belum sesak, mungkin kerana penerbangan daripada kami daripada Paris tiba awal pagi. Penumpang yang menunggu untuk berlepas masih belum ramai, aku perasaan termasuk kami hanya dua penerbangan yang tiba pada pagi itu, satu lagi daripada London.
Beg bimbit LV aku sandang erat, Elijah pula hanya menyandang beg sandang dibelakangnya, bagasi belum sampai. Elijah menghilang pergi mencari troli, sementara aku hanya menunggu di kawasan rel bergerak yang belum terisi. Tidak lama kemudian, beg-beg daripada penerbangan kami mula berpusing di atas rel bergerak warna hitam itu. Aku menjenguk-jenguk, kalau-kalau bagasi kami antara yang terawal, namun tidak kelihatan. Elijah kembali membawa troli, berdiri disebelahku. Masing-masing diam, perjalanan yang memakan masa hampir 12 jam itu memang memenatkan. Kakiku terasa letih, nasib baik hanya kasut balerina yang aku pakai, tidaklah memeritkan jika hendak dibandingkan dengan kasut tumit tinggi. Elijah membuka jaket kulitnya, suhu dalam terminal tidak sesejuk kota Paris, membiarkan t-shirt putih CK menutupi tubuh sasanya, dan jeans biru. Ada beberapa mata memandang, mungkin mengenali Elijah, yang wajahnya semakin banyak terpapar di iklan sekarang.
Rambutku yang dibiarkan lepas, aku ikat menjadi tocang satu. Cermin mata hitam aku sarungkan, menutup mata sembab yang tidak cukup tidur. Kepalaku mula merasa pening, tidak sabar rasanya hendak pulang ke Rumah No 54 dan berehat. Tangannku jatuh lepas ke leher, tersentuh rantai berlian pemberian Erik. Sedikit tersentak. Sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu.
Elijah menunduk ke depan, mengangkat tiga bagasi milik kami yang kebetulan berada dalam jarak yang sama. Sebaik sahaja mendapatkan bagasi, kami mula melangkah keluar.
‘Coffee?’ ajak Elijah sebaik sahaja kami berada di kawasan kedai-kedai dalam terminal. Aku mengangguk setuju, kopi mungkin dapat mengurangkan sedikit pening kepala yang aku alami sekarang. Kami menuju ke Starbucks di lot tepi terminal. Aku memesan coppacino dan Elijah single shot espresso. Kami duduk di sofa di ruang tengah kedai, menyandarkan diri di sofa empuk, melepaskan lelah seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Rumah No 54. Aku duduk menghadap luar kedai, manakala Elijah menghadap dalam ruang kedai. Dari tempat aku duduk, ada bilboard Elijah sebagai model iklan pakaian Tom Barker, aku mencuit tangan Elijah dan memuncungkan mulut ke arah bilboard tersebut. Elijah memandang dan tersenyum sebelum menggeleng-geleng kepala. Dia kembali membaca surat khabar sambil bersandar dan kakinya disilangkan. Pelayan-pelayan Starbucks itu berbisik sesama mereka, mungkin sudah menyedari bahawa model di bilboard itu adalah lelaki sama yang sedang berehat di sofa dalam kedai mereka.
Aku memejamkan mata, membuat perkiraan mental tentang tugasan seterusnya di Chick! dan projek-projek modeling untuk Elijah. Buka kembali mata, aku capai organizer dalam beg tangan dan mula menyemak tarikh-tarikh penting. Walaupun ada blackberry, aku lebih old-fashion dalam jadual hidup, lebih suka mencatat dalam organizer daripada memo dalam blackberry.
Tangan Elijah tiba-tiba mencapai organizer tersebut, menutupnya, dan menyembunyikannya di sisi sofa.
‘hei..’ aku sedikit terkejut.
‘stop working. stop thinking. just relax’ dia membalas, tetapi dia tidak melepaskan pandangan daripada surat khabar yang sekarang terbentang di atas meja kopi antara kami. Aku mendengus geram, cuma kepenatan buat malas hendak bertekak dengan Elijah. Selalu dia nasihatkan supaya jangan bekerja keras. Kalau aku tidak bekerja keras, tidak mungkin Elijah mampu mendapatkan job dengan jenama terkenal, dalam masa hanya beberapa bulan sahaja, jobnya sudah merentas benua. Kalau aku ikut katanya, alamatnya tidak merasalah hendak bergaya untuk jenama-jenama yang punya kelas. Geram betul aku, nanti aku nak dapatkan job Giant untuk Elijah, biar dia bergaya dengan pakaian-pakaian murah dengan rekaaan yang teruk. Padan muka!
Aku mengalihkan pandangan ke luar kedai. Mataku membulat, nafasku kencang menahan sesak dada, terasa ada darah yang menyusup keluar dari tubuh, meninggalkan aku tanpa nyawa dan jiwa. Elijah memandangku.
‘Hei, are you ok?’ Dia bertanya melihatkan aku yang tidak berkelip. Dia memandang keluar kedai.
‘So, that’s him ek’ Ulas Elijah. Aku masih lagi terdiam tidak mampu membalas. Di luar sana, di antara gerai-gerai yang menjual cenderahati. Erik dan Suzie sedang berdiri. Erik memimpin tangan Suzie yang sedang memboyot kembung. Sesekali Erik mengucup pipi Suzie yang semakin ‘glowing’.
‘Tanggalkan rantai berlian’ Perintah Elijah keras. Aku pula yang tidak mampu berfikir mengikut sahaja arahan Elijah. Aku tanggalkan dan berikan kepada Elijah.
‘Come on. Let’s finish this’ Elijah menarik aku bangun, tangan kanannya dipautkan pada pinggangku dan dengan tangan kiri dia menolak troli berisi bagasi kami. Elijah memeluk pinggangku dan seolah menarik aku pergi lebih dekat kepada Suzie dan Erik yang tidak menyedari kami semakin menghampiri.
Stop it Elijah!Stop!
Semua jeritan itu hanya kedengaran dalam jiwaku, mulutku terasa lumpuh, seolah lidah sudah tidak berhenti berfungsi seperti mana otak yang semakin tidak dapat berfikir. Hanya beberapa langkah menghampiri Suzie dan Erik, mereka berdua serentak memandang aku dan Elijah. Muka mereka berdua berubah.
‘Owh, sorry..’ Elijah buat-buat menekan pedal pada troli yang menghentikan troli itu. Tangannnya masing memegang erat pinggangku, sesekali dia mengucapkan sesuatu dan menoleh padaku. Aku lihat Erik juga membalas sesuatu manakala Suzie lebih banyak mendiamkan diri. Butir-butir perbualan mereka aku tidak dengar, bukan kerana jauh sampai telinga aku tidak dapat menangkap suara mereka. Tetapi masa seolah berhenti bergerak, bunyi dan nada semuanya menjadi bisu, yang kuat bunyinya hanyalah degup jantung dan esak tangis aku dalam hati. Sebelum semuanya sempat aku hadam, aku lihat Elijah dan Erik bersama. Elijah meninggalkan sesuatu dalam telapak tangan Erik, sebelum menarik aku, malah sebenarnya tangannya menyokong aku daripada terjelupuk ke lantai.
Kami meneruskan langkah ke luar terminal, Elijah menahan teksi, dan mengangkat bagasi kami ke dalam but teksi itu. Aku masuk ke dalam perut teksi dan mendiamkan diri. Aku tidak tahu apa yang sepatutnya aku rasa. Aku geram, aku marah, aku sedih, aku lali dengan perasaan sendiri. Sebaik sahaja Elijah masuk duduk disebelahku, teksi memecut laju.
‘What have you done?! You have no rights whatsoever!’ aku tiba-tiba menjerit sambil kepal-kepal penumbukku aku halakan ke dada Elijah. Pemandu teksi memandang melalui cermin, tetapi Elijah menunjukkan isyarat kepada pemandu supaya tidak campur tangan. Esak tangis aku makin kuat, ditambah dengan penumbuk yang semakin keras kepada Elijah.
Elijah menarikku rapat ke dadanya, mengusap ubun-ubun rambutku lembut. Mulutnya tidak habis-habis berbunyi ‘syohh’ untuk mendiamkan aku. Tanganku mencengkam erat lengannya, aku menangis teresak dalam pelukan Elijah.
‘It will be alright. It will be find. Just cry’ Lembut suara Elijah memujukku. Aku menahan getar dalam pelukannya. Tangisanku makin kuat, aku benamkan kepalaku atas dadanya. Bila aku dengar degup jantungnya, aku menjadi tenang, apakah bunyi jantung orang yang patah hati semuanya sama? Sehingga bila mereka bertemu antara satu sama lain, ada ikatan antara mereka terjalin kerana hati mereka yang patah, dan kerana itu mereka boleh jadi akrab, jadi sahabat?
‘Thanks’ suaraku perlahan sekali. Elijah mengemaskan peluknya. Dalam teksi menghala ke Rumah No 54, ada dua hati yang berdegup, yang rentaknya berlainan kerana dikecewakan sebegitu hebat.
0 gossip (s):
Post a Comment