1-89 Selamat tinggal

“Kau ok Dell?” Tak pernah Suri selembut ini. Dia duduk sebelah aku, sambil memandang aku tepat pada mata. Pandangannya dalam. Tangannya memegang tangan aku lembut. Lembut dan hangat. Lembut sentuhannya berbanding sentuhan Elijah. Ya, Elijah berpaut pada lengan aku dengan segenap tenaga jantannya, kasar. Dia menangis bagai orang gila kerana rindukan Mia.

Mia, perempuan yang dicintai Elijah.
Mia, perempuan yang meninggalkan Elijah.
Mia, perempuan yang sepatutnya melengkapkan Elijah.
Mia, perempuan yang sudah menjadi isteri Elijah yang sah.

Ya, ISTERI.

Harith yang beritahu aku tadi, ketika aku menyerahkan skirt Rosa yang tersesat masuk dalam plastik beg aku. Salah aku. Aku yang tanya kenapa Harith bermuram durja, kenapa Harith tak ceria. Kalau aku tak peduli pasti aku tak sibuk-sibuk tanya. Kalau aku tak tanya pasti aku tak tahu Elijah dan Mia sudah berkahwin. Kalau aku tidak tahu pasti aku tidak rasa sakit dan pedih seperti ini.

“Mia…dia dah kawin dengan Elijah” suara Harith bergema-gema sampai sekarang.

Aku mahu dunia berhenti berputar sekarang! Ada dua perkataan yang aku masih keliru maknanya.

Satu, kawin. Kahwin itu penyatuan dua manusia, berkongsi semuanya sehingga akhir hayat? Dua, Elijah. Elijah itu hantu bermata hijau yang aku tak boleh singkir dari otak aku? Yang sudah hancur berkecaikan telefon bimbit yang aku beri? Yang kini menyebabkan hancur berkecai hati aku? Kalau inilah pendefinisiannya, aku tidak percaya. Boleh tak definisi perkataan kahwin dipinda kepada ‘suka’ atau ‘berminat’ atau ‘mengorat’?. Kalau tak pun, katakanlah Elijah itu adalah nama lelaki dari negeri lain yang tiada kena mengena dengan aku, dengan rumah no. 54. Bukan Elijah Amru Darcy! Bukan!

Aku tinggalkan Harith selepas dia melafazkan “Mia…dia dah kawin dengan Elijah”. Pada masa itu aku terus meluru ke tingkat empat, sambil tangan mula mengigil, dada mula rasa sebak dan sesak. Sebelah tangan sudah mula menyeka air mata yang menderu tanpa aku minta. Aneh. Sungguh aneh. Apa sudah jadi? Kenapa bodoh menangis kerana lelaki yang tak pernah ambil peduli?

Entah, aku langsung tak boleh gambarkan apa yang aku rasa. Sebahagian otak aku rasa semua ini mimpi. Sebahagian otak aku jadi beku. Sebeku hati aku yang terasa dipecah-pecahkan bagai ketulan ais. Semua bersepai, berkecai berselerakkan atas lantai. Perasaan ini, sama seperti perasaan bila dapat tahu mak sudah tiada.

Perasaan ditinggalkan.
Perasaan terkapai-kapai keseorangan.
Tidak bermaya.
Sepi.
Rasa seperti bunga ros yang direntap kelopak-kelopaknya dari tangkai.
Juga seperti kelopak bunga-bunga sakura yang berterbangan dibawa angin kencang,berselerakan tanpa arah tujuan.
Kusut.
Serabut.

Tapi kenapa Elijah? Kenapa? Aku tidak pernah betul-betul kenal Elijah. Dan dia tak pernah peduli pasal aku.
Oh Tuhan, kenapa dengan aku?

Dan kini aku di rumah Suri. Aku sudah tinggalkan rumah 54 dan aku mahu tinggalkan semua kenangan di rumah 54. Tugas aku di sekolah sudah selesai, tugas yang aku kurang minati, yang aku gagal kuasai. Aku sudah tidak sanggup berada di rumah itu lagi, walau aku ada satu minggu lagi sebelum tarikh sebenar untuk berpindah keluar.
Aku sudah tidak sanggup.
Tidak sanggup berhadapan dengan Elijah yang tak bermaya.
Tidak sanggup menahan apa yang aku rasa. Aku kasihankan Elijah, aku kasihkan Elijah. Tapi aku tidak boleh lagi, kerana itu hak Mia.
Ya, itu hak Mia, walaupun dia tinggalkan Elijah.

Suri peluk aku. Menghentikan lamunan aku, dan aku menangis dalam pelukan Suri.

Elijah, bertahanlah. Aku tahu Mia akan kembali. Dia pasti kembali.

Selamat tinggal Elijah.

0 gossip (s):