Sepatutnya hari ini aku berjumpa Rosa di kedai kek ini. Katanya hari ini baru dia free sikit. Sepanjang minggu lepas sibuk. Aku malas hendak ganggu. Rosa punya beban kerja makin bertambah. Dato' Malik sudah bersedia untuk pergi bercuti. Dengar ceritanya, akhir bulan ini Rosa akan ambil alih sepenuhnya selama setahun. Siapa tahu kalau lebih lama dari itu.
Aku beri Rosa sedikit ruang. Masa untuk dia adaptasi. Walaupun baru saja bunga-bunga cinta hendak mekar, tapi ini bukan masanya hanya untuk melayan perasaan. 4-5 mesej yang aku hantar, adalah satu dua yang Rosa balas. Tak apa. Aku tidak mahu mengganggu.
Sudah lebih seminggu aku tidak bertemu Rosa. Hari itu aku pandu kereta ke bandar perdana. Rumah Rosa di lereng bukit kawasan mewah. Pembantu rumahnya keluar menyapa, 'Ah, Encik Harith... Rosa takde kat rumah. Dia pergi rumah Dato' dan Datin'.
Aku ucap terima kasih dan aku pandu ke rumah Odelia. Malaslah hendak menganggu rumah Dato' Malik malam-malam begini.
Sempatlah aku pergi sekejap ke rumah Odelia. Rumah kawannya sebenarnya. Tanya fasal situasi dia dengan Harley. Dia tanya fasal Elijah dan Mia. Odelia masih seperti dulu. Bukan jenis senang berkongsi. Tapi dari nadanya aku tahu, macam ada yang tidak kena saja fasal dia dan Harley. Bila aku cakap fasal Elijah, lagi semacam reaksinya.
Kalau aku bisa buat kesimpulan mudah, aku kata Odelia ini tidak sepenuh hati dengan Harley. Dan mungkin dia menaruh harapan pada Elijah? Aku pun tak faham kenapa perempuan boleh minat dengan lelaki macam itu. Hanya kerana bermata hijau dan muka pan-asian?
Haha. Aku sedar aku iri tidak kena tempat.
Eh, mana Rosa ni? Aku kerling pada jam tanganku. Sudah hampir satu jam aku tunggu. Pelanggan sudah bertukar wajah. Aku menyeluk telefon bimbit. Tanganku menaip pantas.
Sent.
Mesej ketiga yang aku hantar sejak aku sampai.
Delivered.
Tiba-tiba aku terasa risau.
Mungkin ada sesuatu yang berlaku pada Rosa?
Aku capai jaket di atas kerusi dan pergi ke kaunter. Mahu bayar air kopi yang aku minum tadi. Niat di hati mahu terus ke pejabat Rosa.
Aku melangkah keluar dari kedai kek. Kepala sudah mula berfikir bukan-bukan. Kemalangankah? Tak pernah selama ini Rosa tidak balas mesej aku. Paling tidakpun dia akan balas 'ada meeting', atau 'busy'. Hati aku mula berdebar-debar.
'Harith!', aku terdengar namaku dipanggil. Aku toleh ke belakang dan Odelia berdiri seperti mayat hidup. Entah apa yang terjadi sehingga dia nampak begitu tidak terurus. Matanya merah seperti baru lepas menangis. Menangis lagi? Odelia...
***
Kali ini Odelia pula yang duduk membatu di dalam kedai kopi dengan aku. Aku tarik dia masuk ke kedai kopi sebelah kedai kek sebab dia sudah mula menggeletar seperti kesejukan.
'How do you find me here?' soalku selepas aku letak 2 cawan cappucino di atas meja.
'Ingatkan Rosa ada kat sini...' Odelia mula bersuara. Dia menoleh kiri dan kanan seperti mencari Rosa.
'So Rosa bagitau yang kitorang selalu hangout sini ke?' tanyaku lagi.
'Kenapa Rosa takde? Nak kena cakap dengan dia ni...' Odelia sambung lagi, sedikit merengek macam anak kecil. Kenapa soalan ku tidak dijawab?
'I'm waiting for Rosa actually,' kataku. 'Maybe dia stuck kat office agaknya'.
'Jom pergi cari dia,' Odelia tiba-tiba sebak. Dia sudah mahu bangun 'I really need to see her. Please...'
'Sit down!' aku sedikit marah.
'Ah,' Odelia berbunyi kecil. Dia duduk dan air matanya berderu keluar. Ah.. sudah.. I'm making a scene again!
'Tell me what's wrong,' kataku. Aku cuba lembutkan nada seboleh mungkin.
Sambil teresak-esak, Odelia berkata, 'tak.... nak Rosa..'
'Tell me what's wrong!', ulangku. Suaraku meninggi seperti aku marah adikku Sofea.
Odelia mengelap air matanya dengan lengan baju. Aku duduk kaku memerhati. Mataku memandang tepat padanya menunggu jawapan. Odelia sedu bila dia hendak bercakap.
'Harith..', panggil Odelia. Aku diam. Masih menunggu jawapan. 'Saya... saya...'
Aku mengangguk-angguk, menunggu apa yang hendak dikata. Mengandung? Break up dengan Harley? Aku sudah mula kreatif membuat telahan sendiri.
'Saya ada adik lelaki.'
Aku terus menunggu. Apa kena dengan adik lelaki Odelia?
'What's wrong with him?' tanyaku.
'Saya ada adik lelaki', ulang Odelia lagi. Ah sudah.. tak menjawab soalan aku lagi Odelia ni. Aku sedikit hilang sabar.
'You got a brother, that's good,' kataku. 'Apa dah jadi dengan dia?'
Odelia terus teresak dengan lebih kuat. Ah... apa ni?
Tiba-tiba dia berhenti teresak. Atau reda sedikit. Dia menarik nafas panjang sambil air matanya masih mengalir. 'Harith, saya anak tunggal!'
1-102 Hairan
Labels: Harith Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment