Entah berapa lama aku tidak bertembung dengan penghuni rumah No 54. Sesudah Odelia pindah keluar, lain rasanya rumah ini. Jarang-jarang aku bertemu Zanna. Walaupun kadangkala aku nampak dia pulang bila aku melayan malam di balkoni rumah. Elijah apatah lagi. Dan aku tidak harap aku bertembung dengannya. Bukan marah. Bukan iri. Tapi aku tidak tahu apa hendak di kata.
Pernah aku nampak Elijah berjalan keluar rumah pada satu petang. Nampaknya sungguh sayu. Entah apa berlaku pada dia dan Mia. Berceraikah? Entah. Aku tidak mahu peduli. Dan entah kenapa aku terperangkap dalam drama tiga segi ini.
Mungkin ini masanya untuk aku buktikan kejantanan aku. Bertumbuk dengan Elijah? Tidak.
Masa untuk aku diam. Diam dari Mia. Biar dia selesaikan masalahnya sendiri. Rasa sayang yang aku ada suatu ketika dulu sudah berubah kepada marah. Marah dengan dirinya yang meninggalkan aku. Marah dengan dirinya yang berkahwin dengan Elijah. Marah lagi dengan dirinya yang ingin kembali sedang mereka masih bersama.
Pilu. Bila cinta ini sudah tiada, baru hendak kembali. Baru terasa mahu hargai.
Aku mengambil bantal dan mendakap kuat. Pintu balkoni dibiar terbuka. Hujan turun renyai-renyai membasahi malam.
Sunyi.
Fikiranku melayang entah ke mana.
Mudahnya sepuluh tahun yang lalu. Waktu aku masih muda. Cinta pertamaku umpama mimpi indah. Semuanya serba kena. Biar apapun yang datang, semuanya aku tempuh. Padanlah orang kata lautan api sanggup direnang.
Aku termenung jauh. Sekali sekala aku dengar angin bertiup di luar.
Kadangkala kekecewaan itu buat orang berubah. Aku mula tidak percaya cinta sejak gagal buat pertama kali. Satu demi satu wanita aku ungkap kata cinta walau tidak aku maksudkannya. Mereka datang dan aku tinggalkan selepas beberapa lama.
Chloe mengiau di dapur. Aku letakkan bantal di atas sofa dan melangkah ke dapur. Aku capai bijiran makanan kucing dari almari atas dan aku masukkan dalam mangkuk makanannya. Aku bertinggung mengusap kepala Chloe sambil ia makan.
Isu hati dan perasaan memang membungkam jiwa. Buat otak tidak mampu berfikir. Buat hati rasa senang bila cinta berbunga. Buat jiwa rasa tidak tenteram bila gelodak tiba.
Cerek air elektrik aku ambil dari tempatnya dan aku isikan air separuh penuh. Suis aku hidupkan dan aku buka almari tengah. Melihat sama ada mahu minum coklat panas, kopi ataupun teh.
Bila usia sudah lebih 30 tahun, aku fikir aku akan lebih matang. Bisa memilih yang betul. Tapi apa yang betul dalam soal Mia dan Rosa?
Aku duduk menunggu air panas. Roti canai masih lagi elok dalam bungkusan. Langsung tidak aku sentuh dari tadi. Perut sudah berkeroncong entah berapa lama. Tapi bila jiwa tidak tenteram, hilang rasa ingin makan aku.
Mia atau Rosa? Aku tidak tahu jawapannya. Tapi aku tahu aku sudah penat dengan drama ini. Aku bangun. Kerusi aku tolakkan balik ke tempatnya. Aku berjalan ke ruang tamu dan mencapai telefon bimbit. Mesej Mia yang aku terima 2 jam lepas masih belum aku balas.
Terasa sedikit sejuk berdiri di balkoni. Hujan masih renyai-renyai. Aku pandang telefon bimbit aku. Aku pandang tasik di sebelah rumah No 54. Aku genggam kuat telefon bimbit itu. Aku hayun ke belakang dan bersedia untuk biarkan ia pergi.
Tapi kemudian aku berhenti.
Bodoh.
Lagi bodoh kalau aku buang telefon yang mahal ini. Hanya untuk puaskan hati.
Aku buka belakang telefon bimbit. Aku keluarkan bateri dan sim card. Sim card itu aku patahkan dua. Aku pandang lama. Fikir tentang Mia. Fikir tentang Rosa. Dan kemudian aku campakkan sim card itu ke bawah. Tidak akan masuk tasik kerana terlalu ringan. Tapi biarlah. Biar malam ini aku sunyi. Tidak akan dengar mesej dari Mia.
Esok boleh pergi tukar nombor baru, fikirku.
Aku sisipkan kembali belakang telefon bimbit. Dan aku masukkannya ke dalam poket sambil mataku memandang ke luar. Puas.
Hujan seolah-olah menenangkan aku. Damai.
Itu sebelum aku dengar ketukan kuat di pintu. Pintu rumahku diketuk bertalu-talu.
Aku berjalan pantas ke arahnya dan mataku mengintai dari celah mata helang.
Odelia!
Pintu aku buka dan Odelia basah kuyup. Dia seperti mahu menangis.
'Harith....'
1-96 Biarkan
Labels: Harith Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment