8 jam? Atau mungkin sembilan atau sepuluh jam. Yang aku tahu, aku sampai rumah tika waktu dinihari. Perlahan-lahan aku memanjat tangga ke tingkat lima. Tidak mahu Mamat Ground Floor dan Odelia terdengar. Kemudian aku terus terlantar di atas katil. Tidak sedar pun mentari pagi menyinar meskipun tirai tingkap tidak ditarik. Atau mungkin hujan dan cuaca mendung?
Aku terjaga hanya bila telefon berbunyi. Mia. Habis kerja awal. Dia ajak aku keluar lagi. Baru sahaja aku meletakkan telefon bimbit ke sisi, Rosa pula telefon. Juga mengajak aku keluar. Entah apa yang aku jawab, aku pun terlupa. Masih separa sedar.
Berapa hari sudah aku tidak balik ke rumah? Tiba-tiba mendapat panggilan dari Encik Bos yang meminta aku ke pejabat segera. Ada masalah untuk keluaran terbaru. Entah budak marketing salah buat kerja, tiba-tiba ada iklan yang tertinggal untuk dimasukkan. Ada lagi beberapa masalah yang sebelum ini tidak pernah terjadi. Siapa yang tak buat kerja ni? Aku tertanya sendiri.
Memori beberapa hari lepas sedikit kabur. Rasanya hanya satu dua malam aku di pejabat. Berapa lama aku tidak pulang? Hari ini sudah hari apa?
Aku bangun. Mengeliat sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sambil menggaru-garu perut yang tidak gatal, aku berjalan ke arah tingkap. Ternampak Mamat Ground Floor berjalan keluar ke jalan raya. Seperti mencari-cari sesuatu.
Ah, mana Chloe? Sudah berapa hari aku tidak beri ia makan. Aku melihat sekeliling rumah. Kawasan dapur. Ruang tamu. Bilik kerja. Bilik air. Tiada.
Agaknya keluar melalui cat flap di pintu depan.
'Chloe! Chloe!' aku memanggil dari muka pintu. Beberapa ketika kemudian aku terdengar daun pintu di tingkat bawah dibuka.
'Harith! Awak cari kucing awakkah?' terdengar suara Odelia.
'Ya!', aku menjerit dari tingkat atas. Tidak sopan pula rasanya menjerit-jerit seperti ini. Lalu aku menghayun langkah kaki ke tingkat 4.
'Hai Odelia,' aku tegur dengan sopan sambil aku lemparkan kenyitan mata buatnya. Oh, itu sudah jadi tabiat. Haha, aku ketawa dalam hati.
1-10 Letih
Labels: Harith Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment