Aku terjaga dengan tubuh yang melekit peluh. Aku mimpi buruk lagi. Aku masih tak ingat apa-apa tentang mimpi itu. Puas aku cuba tapi tak berhasil. Yang aku ingat hanya kegelapan. Aku lepaskan satu nafas panjang.
Di sisiku, ada Biru... okey, Chloe. Dia sedang tidur bergulung. Macam mana kucing ni boleh masuk ke kamarku?
Dengan perlahan, aku bangun dan capai tuala. Aku lap tubuh sambil mengatur kaki ke ruang tamu. Dari situ aku lihat pintu balkoni sedikit terbuka. Oh, pandai sungguh kucing tu cari jalan masuk.
Aku buka pintu balkoni luas-luas. Angin tengah hari yang lembap menerjah masuk, membawa bersama khabar hujan. Awan mendung sedang berasak-asak di langit sana. Cuaca agak redup. Sangat sesuai untuk jalan-jalan tanpa tujuan. Sekadar untuk mengambil angin. Boleh juga mencari ilham.
Lalu itulah yang aku putuskan. Aku ingin keluar.
Aku ke bilik mandi. Aku berendam di dalam tab mandi untuk membuang sisa peluh dan kotor. Baru aku sedar di tanganku masih bersisa cat minyak. Aku bersihkan.
Selesai mandi, aku bersiap-siap. Chloe sudah keluar, entah ke mana. Aku pakai khakis coklat dan menyarung t-shirt nipis warna putih. Rambut aku biarkan lepas.
Aku terdengar Chloe mengiau sayup-sayup dari bilik yang satu lagi. Di situ bilik melukisku. Chloe mengiau ke arah lukisan yang baru kusiapkan tadi, sebelum tertidur. Potret itu seorang perempuan berambut hitam, panjang. Matanya hitam pekat. Wajahnya sangat cantik. Tapi siapa dia?
Mungkin itulah yang Chloe tanyakan padaku dengan ngiaunya.
“Aku pun tak tahu, Chloe,” jawabku sambil mengangkat kucing itu keluar. “Dia datang jadi ilham aku tadi. Aku lukis aja.”
Begitulah yang terjadi malam tadi. Aku tak dapat tidur langsung. Rokok pun sudah habis. Jadi aku melukis. Apabila siap, potret perempuan itulah hasilnya. Aku tak kenal pun.
Perempuan itu tersenyum kepadaku dengan senyuman penuh misteri. Bukan Mona Lisa. Bukan Odelia.
Selepas itu, barulah aku dapat melelapkan mata. Sampai ke tengah hari. Dan aku bangun dengan mimpi buruk lagi.
Aku menutup pintu bilik melukis dan bawa Chloe keluar bersama. Chloe aku tinggalkan di tangga.
Aku mahu jalan-jalan cari ilham lagi. Aku mahu mencari, siapa perempuan dalam potret itu.
0 gossip (s):
Post a Comment