Di depan cermin itu, aku lihat imejku. Aku kemaskan kolar sweater turtleneck merah dan betulkan kaki jeans. Aku tarik rambutku ke belakang dan ikat ia. Aku capai botol parfum dari meja. Hampir-hampir aku semburkan ke tubuh. Tapi kemudian aku memutuskan untuk tidak memakai wangian itu. It’s a bit too much, kataku sendiri. Aku pun tak tahu mengapa aku dengan tiba-tibanya galak untuk berpakaian kemas dan berwangi-wangian begini.
It’s just a dinner party of four.
Jadi rasanya, aku sudah siap.
Aku ke dapur. Fikirku, kalau mahu bertandang ke rumah orang, harus bawa sedikit buah tangan. Aku selongkar kabinet. Tiada apa-apa yang menarik. Aku buka peti sejuk. Ada empat biji epal hijau, segugus anggur merah, sebiji tembikai susu dan sekotak strawberi segar. Aku keluarkan epal, anggur dan strawberi. Tembikai susu aku tinggalkan untuk diriku. It’s a bit too much, anyway.
Aku tak punya bakul untuk isi buah-buahan itu. Aku gunakan mangkuk besar dan aku susun buah-buahan itu di dalamnya. Nampak agak pelik.... Well, it’s better than nothing.
Siap dengan buah tangan itu, aku keluar. Aku memanjat anak-anak tangga ke atas. Ke tingkat dua, tiga dan empat. Aku singgah ke rumah Odelia. Aku ketuk pintunya tapi tak berjawab. Mungkin dia sudah ke rumah Harith. Aku naik ke tingkat lima.
Tanganku di pintu, bersedia untuk mengetuknya. Tapi mataku terus naik ke tingkat enam. Aku teringatkan peristiwa waktu mencari Biru.
Aku nampak sesuatu. Bukan hanya perabot seperti yang aku beritahu Odelia dan Harith. Ada kelibat di dalam rumah itu.
Ada orang yang tinggal di tingkat enam.
Ah, mungkin juga perasaanku saja.... Setahu aku, memang tak pernah ada penyewa di tingkat itu. Aku sudah tinggal di sini hampir setahun. Tak pernah aku jumpa sesiapa kecuali Harith yang masuk tiga bulan dulu dan Odelia, dua bulan lepas. Tiada orang lain lagi.
Dan tak mungkin ada hantu di rumah nombor 54 ini!
Aku kembali ke pintu dan terus mengetuknya. Seorang perempuan membuka pintu dan menyambut salamku. Cantik orangnya. Tapi dia bukan Odelia.
“Hi, masuklah. Ni Elijah, kan? I Rosa,” kata perempuan itu sambil menyambut buah tanganku. “Harith tengah memasak tu. Sedap baunya, kan? Bagi pihak Harith, terima kasih untuk buah tangan ni. Comel.”
Aku tersenyum saja. Ramah pula Rosa ni. Tahu pula dia aku faham Bahasa Melayu. Perempuan inilah yang sampai seawal jam lima petang tadi. Aku lihat BMW kelabunya di parkir. Hatiku bertanya apakah dia punya dua-tiga buah kereta? Seingat aku, minggu lepas ada Mercedes yang menjemput Harith. Orang yang sama ke? Kayanya....
Aku mengekori Rosa ke ruang tamu ultra-modern milik Harith. Kemas dan penuh citarasa. Terkedu sekejap aku. Malu juga sebab rumahku sendiri tak tersusun sebegini rupa. Di ruang tamuku hanya ada permaidani dan beberapa biji kusyen dan meja kopi tanpa sofa. Ada juga rak buku yang tak punya buku. Memang aku malu!
Rosa mempelawa aku duduk. Dia letak mangkuk buah-buahanku di meja kopi. Odelia juga ada di sofa. Dia tersenyum. Aku senyum balas. Rosa menepuk ke sisi sofa, melihatkan aku yang masih berdiri. “Kita borak-borak dulu,” ajaknya.
“Tak apa, aku nak ke balkoni... merokok.” Lalu aku tinggalkan Rosa bersama Odelia. Aku ke balkoni. Dari poket, aku keluarkan Dunhill. Sebenarnya aku hanya akan merokok kalau aku gementar atau rasa tak selesa. Sekarang pun aku rasa begitu. Tapi tak tahulah sebab gementar atau sebab tak selesa itu. Aku menarik nafas dalam-dalam. Semerbak bau melur menjalar ke rongga hidungku. Sangat wangi. Aku perhatikan balkoni itu penuh dengan pokok melur yang subur dan segar. Oh, Harith ni pandai bercucuk-tanam.... Dia penulis majalah bunga-bunga ke?
Aku hirup lagi bau melur. Ditambah lagi imej bulan mengambang di langit sana dan pemandangan malam yang hening.... Sangat romantik! Aku tak jadi merokok. Lalu aku duduk di kerusi santai untuk menikmati malam itu.
Dari dalam aku dengar Rosa rancak dengan ceritanya. Entah apa butirnya pun aku tak tahu. Biarlah....
Tiba-tiba, Biru melompat ke atas badanku. Nyaris aku menjerit terkejut! Biru atau Chloe mengiau manja. Dia menjilat hidungku. Aku geli. Kemudian dia ikut memandang ke bulan, sepertiku. Dia mengiau, aku mengangguk. Aku tak faham bahasa kucing. Dia mengiau lagi. Galak pula kucing ini. Bercerita fasal rumah tingkat enam ke? Tapi aku tak faham. Aku angguk saja.
“Makan malam dah siap!” Harith melaung dari dapur.
Akhirnya....
0 gossip (s):
Post a Comment