Sudah jam lapan malam. Aku masih di luar Bookaholic. Aku tak masuk pun. Dari jendela besarnya, aku memerhatikan. Mia Suzanna. Dia tak menyedarinya. Mia Suzanna. Aku menunggu dia dari jam enam tadi.
Sibuk betul dia. Ke sana mencari buku untuk pelanggan. Ke sini untuk menyusun stok. Ke situ menolong staf. Penuh semangat. Senyum tak lekang dari bibir merah jambunya. Tak penatkah ke hulu-hilir tak berhenti. Tak penatkah tersenyum sepanjang masa?
Sekarang sudah pukul lapan.
Aku lihat Mia menanggalkan tag namanya. Dia ambil beg tangan dari bawah kaunter. Dia lambai beberapa staf dan pelanggan-pelanggan setianya. Mia mahu pulang.
Cepat-cepat aku berkejar ke pintu Bookaholic.
“Elijah!” Terpacul namaku dari mulut Mia. “What are you doing here?”
“Kau nak ke mana?” tanyaku pula.
“Balik,” jawabnya. “Malulah ada orang tengok-tengok, intai-intai saya buat kerja.”
Oh, Mia tahu.... Aku tersenyum tak tentu fasal. Kataku, “Lambat kau balik.”
“Sepatutnya saya balik pukul lima tadi. Tapi banyak sangat stok masuk. Customer pun ramai hari ni. Alah, saya dah biasa.”
“Tak lapar ke?” tanyaku lagi.
“Elijah....” kata Mia sambil tersenyum. Kemudian dia menggeleng kepala, tak percaya. “Awak tunggu saya sebab nak ajak saya keluar lagi?”
“Ni kali ketiga aku ajak kau. Tak sudi ke?”
“Hmm... sebab tu lah saya keluar ni.” Mia menyisir fringe yang menutup matanya. “Saya nak keluar dengan awaklah.”
Hatiku sudah berbunga-bunga.
“Kita naik kereta. Kita pergi restoran favourite saya.” Mia membuka langkah ke sebuah Mercedes kelabu yang parkir di tepi Bookaholic.
Mercedes kelabu?
~
Mia memandu. Katanya mahu ke Restoran Sunday’s. Sepanjang perjalanan itu, jantungku berdegup kencang. Bukan hanya sebab Mia memandu 210km/jam. Ada sebab lain. Tapi aku tak tahu puncanya. Degupnya melampau-lampau!
~
Odelia! Aku nampak Odelia di satu meja bersama seorang lelaki. Saat itu jantung berhenti berdegup.
“Elijah? Kenapa?” Getar suara Mia menghidupkan kembali jantungku.
“Kawan aku....” Mataku pada Odelia.
Pandangan Odelia bersatu dengan mataku. Jantungku berhenti lagi.
“Kawan awak pun kawan saya juga,” kata Mia. Dia tarik tanganku ke meja Odelia dengan lelaki itu. Sampai di situ, dia hulurkan tangan kepada Odelia. “Hai, kawan Elijah. Saya Mia. Saya pun kawan Elijah juga.”
“Odelia,” sambut Odelia dengan cool.
Lelaki yang bersama Odelia bangun dan memperkenalkan diri. “Harley Rezuan,” katanya dengan tangan kepadaku.
“Elijah Amru Darcy,” jawabku dengan nama penuhku. “Aku dan Odelia duduk kat tempat yang sama. Berjiran.”
“Odelia kata tak ada jiran lain, selain Harith?” tanya Harley kepada Odelia.
“Jarang jumpa dia,” balas Odelia.
“Aku tak kenal sangat pun jiran-jiran aku...” tambahku.
“Wait a minute. Tadi awak sebut nama Harith?” tanya Mia kepada Harley. “Harith Ali? Awak duduk kat rumah nombor 54 tu ke, Elijah?” tanya Mia kepadaku.
Jadi, betullah telahanku. Mercedes kelabu Mia adalah yang sama dengan yang menjemput Harith dulu. Mia yang jemput Harith!
Aku mengangguk.
Wajah Mia tiba-tiba berubah. “I need to go. Sorry, Elijah.” Terus saja Mia meninggalkan aku.
Aku membuka langkah untuk mendapatkan Mia. Sempat aku mengilas kepada Odelia. Pandangan kami bertemu lagi. Jantungku terhenti.
Mia....
Nama itu aku sebut dan jantungku hidup dengan nafas semula.
Mia. Mia. Mia. Mia. Mia....
Odelia aku tinggalkan bersama Harley.
Mia....
0 gossip (s):
Post a Comment