Aku ketuk pintu rumah. Sepatutnya dia sudah pulang. Aku mahu cepat. Aku ketuk pintu itu sekali lagi. Aku tunggu. Kemudian aku ketuk lagi. Nafasku jadi makin tak teratur tiba-tiba. Sesak. Darah terlebih dipam oleh jantung dan naik ke kepala. Cepat! Aku ketuk pintu kuat-kuat. Cepat! Makin laju pula jantungku!
Pintu itu dibuka akhirnya. Odelia. Riak wajahnya yang dibingkai telekung putih itu sedikit berkocak. Kemudian tenang semula. Mata coklatnya sembunyi di bawah pandangan yang ditundukkan dariku.
Jantungku jadi perlahan, tiba-tiba.
“Odelia...” kataku, membuka bicara. “Aku datang nak beri kau ni.” Lalu aku hulurkan bungkusan warna coklat kepadanya.
Odelia menyambutnya. Dia bertanya pula, “Apa ni?”
Tak sempat pun aku menjawab, ketawa pula yang menyerang. Aku terbahak-bahak. Puas aku tahan. Aku ketawa lagi.
Semuanya angkara teringatkan kejadian semalam. Odelia langgar aku lagi. Waktu itu aku sedang mengendong Chloe untuk dihantar ke rumah Harith. Tiba-tiba Odelia muncul dan terus bertembung dengan aku. Aku jatuh ke lantai. Odelia jatuh ke atas aku. Kepalaku terhantuk ke dinding. Tapi sakitnya tak terasa. Aku hanya dapat ‘rasa’ Odelia yang membatu dalam pelukan tanpa sengajaku.
Saat itu jantungku tak berfungsi langsung.
Harith cepat-cepat tarik Odelia. Pernafasanku kembali normal. Sakit di kepala mula berdenyut-denyut. Tiba-tiba Harith ketawa. Dia ketawakan Odelia. Aku cuba menahan tapi gagal.
Muka Odelia naik merah. Sangat, sangat merah! Rambut kerintingnya menjalar ke muka. Muka bulat yang merah, semerah-merahnya! Aku boleh ibaratkan dia seperti semangkuk Maggi kari.
Aku ketawa lagi.
Odelia tutup pintu. Tapi aku sempat menahan. Sisa ketawa tadi aku buang jauh-jauh. “Minta maaf,” aku pohon sepenuh hati.
Odelia diam.
“Telefon tu hadiah dari aku.” Kataku itu merujuk kepada bungkusan coklat yang dipegang Odelia.
Odelia mengangkat wajahnya. Mata kami bertentang lagi. Coklatnya di atas hijauku.
“Aku gantikan telefon kau semalam. Aku tak tahu telefon yang macam mana sesuai untuk kau. Aku sendiri pun tak ada telefon. Jadi aku beli yang sama macam yang rosak tu,” terangku dengan panjang-lebar.
Odelia tak membalas apa-apa pun.
“Aku rasa aku yang salah. Asyik muncul tiba-tiba, tak tentu masa, tak kena situasi. Aku minta maaf, Odelia.”
Odelia senyap juga.
“Aku tak ada telefon. Tapi aku selalu ada kat bawah. Kalau kau nak bincang apa-apa, aku ada. Mungkin aku tak banyak cakap. Tapi aku sudi mendengar.”
Odelia diam lagi.
“Okey, bye.” Aku berhenti di situ. Aku buka langkah untuk turun ke tingkat bawah. Tapi kemudiannya aku berpaling semula. “Aku minta maaf.”
Odelia sudah menutup pintu.
Ah, aku pun mahu cepat!
~
Aku menunggu lagi di luar Bookaholic. Semalam Mia tinggalkan aku di Sunday’s. Tak tahulah mengapa. Aku perlukan penjelasan.
Di tanganku, ada sejambak ros merah. Bunga ini untuk Mia.
Aku lihat Mercedes kelabu sudah masuk ke ruang parkir. Aku ke situ. Mia keluar dari perut keretanya. Dia terkejut melihat aku.
“Elijah....” katanya tak habis.
“Untuk kau, Mia.” Kataku sambil menghulurkan jambangan ros itu.
“Untuk apa, Elijah?” Mia tak menyambut pemberianku.
“Untuk kau,” ulangku.
“I don’t want it.”
“It’s a gift.” Aku hulurkan bunga itu sekali lagi.
“I don’t deserve it.” Mia menyimpan tangan ke dalam pelukan tubuhnya. “I don’t deserve you, Elijah.”
Aku tak faham. Aku perlukan penjelasan dari Mia. “Keluar dengan aku, please?”
“Saya minta maaf, Elijah.”
“Aku akan maafkan kau kalau kau keluar dengan aku.”
Mia tunduk dengan satu keluhan panjang. “Don’t you ever give up, Elijah?”
Aku hulurkan lagi jambangan ros merah kepada Mia. “Tak,” jawabku. “Not if I can give you my heart instead.”
Untuk kau, Mia Suzanna....
0 gossip (s):
Post a Comment