Air menyisa dari hujung rambutku yang masih basah. Aku baru lepas mandi. Aku ambil Dunhill dari poket jeans yang tersadai di kaki katil. Aku nyalakan ia dan sedut asapnya dalam-dalam. Langkah aku panjangkan ke balkoni yang terbuka luas. Di situ, aku labuhkan tubuh. Angin malam menepis kepul-kepul nikotin yang aku hembus keluar.
Malam sudah ke jam satu pagi. Suasananya senyap dan sepi. Dalam tenang itu aku kacau. Gementar? Tak selesa? Aku sendiri tak pasti. Rokok yang terjuntai di bibir jadi bukti rasa itu. Mengapa aku gementar? Apa yang menyebabkan aku tak selesa? Aku tak dapat jawapannya. Rokok aku sedut dalam-dalam lagi. Pandangan aku lepaskan ke langit dengan bintang-bintang yang bertaburan.
Cinta itu umpama bintang, kejap ada, kejap tak ada. Ia tetap ada. Tapi dapatkah kita mencapainya?
Aku ketawa sendiri mengingatkan kata-kata itu. Itu jawapan aku waktu Harith bertanya, “Kau percayakan cinta sejati?” Rupa-rupanya Harith itu agak jiwang orangnya. Selepas makan malam dengan lasagna yang enak, aku dan Harith duduk santai di balkoni. Banyak perkara yang kami ceritakan. Oh, pembetulan. Harith yang banyak bercerita. Aku mendengar saja. Harith itu sama ramahnya dengan Rosa. Padanlah mereka berdua. Harith aku lihat lebih cenderung berbicara soal cinta. Memang jiwang! Doktor cinta ke si Harith ni? Tanya itu aku simpan dalam hati saja. Dan Harith terus saja dengan cerita-ceritanya. Beberapa kali aku mengintai ke dapur dari sudut mata. Rosa rancak berbual dengan Odelia.
Sepanjang makan malam tadi, aku tak punya peluang untuk berbual dengan Odelia. Tumpuan aku berbahagi antara Harith dan Rosa yang banyak bertanya tentang diriku. Aku sekadar menjawab mana yang patut. Dengan Odelia, aku hanya mampu tersenyum.
Kemudian, selesai mengemas dapur, Odelia cepat-cepat minta diri untuk pulang. Katanya ada kerja-kerja sekolah yang belum disiapkan.
Ah, mengapa cepat sangat Odelia pulang?
Aku menyusul tak berapa lama kemudiannya. Tinggallah Harith dan Rosa yang asyik bermanja-manja. Biarlah....
Sekarang, rasanya semua penghuni rumah nombor 54 ini sudah lena dibuai mimpi. Aku seorang saja yang masih terjaga. Rokok tinggal separuh. Aku sedut dalam-dalam lagi. Sayup-sayup aku dengar bunyi seseorang menapak turun tangga. Siapa? Aku membawa pandangan ke arah pintu utama.
Harith?
Ke mana dia mahu pergi waktu-waktu begini? Aku ingin memanggilnya dan bertanya. Tapi nampaknya Harith seperti tak akan mengendahkan. Macam tak sedar dan tak peduli apa-apa. Harith terus berjalan meninggalkan pandanganku.
Is he sleepwalking? Aku bertanya sendiri.
0 gossip (s):
Post a Comment