1-23 Elijah Darcy sedang gembira

Mia Suzanna. Aku tersenyum sendiri mengenangkan nama itu. Perempuan rambut fringe itu sangat lawak. Oh, dia juga sangat lawa. Tapi aku mahu ketawa lagi. Lucu. Memang lawak. Lain yang aku cari, lain pula yang aku temui. Bukannya ilham yang aku dapat. Tapi perempuan itu. Mia Suzanna.


Waktu keluar cari ilham tadi, aku singgah di sebuah kedai buku. Saja-saja mahu membelek majalah dan buku baharu. Aku ke bahagian Arts. Di situ aku lihat ada seorang perempuan sedang terkial-kial mahu mencapai sebuah buku di rak paling atas. Di tangannya yang satu lagi ada beberapa buah buku yang tebal.


“Can I help you?” tanyaku ingin membantu.

“It’s okay. I can manage,” jawabnya.

“I’m taller than you,” balasku tak kena situasi. Terlepas cakap pula!


Dia hulurkan aku buku itu. Mukanya jadi merah padam. “Thank you very much.” Dia suruh aku sisipkan buku-buku yang lain ke rak masing-masing. “Now, would you like to work here, sir?”


Aku tak jawab apa-apa. Soalan itu agak pelik.


“Since you’re so tall... it’s such an advantage to have you as my staff. I own this bookstore, so I want to hire you.”


Terkebil-kebil aku. Kemudian dia ketawa.


“Maaf, aku terlepas cakap tadi. Aku tak berniat....” jelasku.


Dia pula yang terkebil-kebil. Kemudian aku ketawa. Kami sama-sama ketawa sudahnya. Pengunjung kedai buku itu memandang kami dengan satu macam. Kami ketawa lagi.


“Maaf sekali lagi....” kataku.

“Tak apa. Saya gurau aja tadi.” Lalu dia perkenalkan diri. “Saya Mia Suzanna. Awak ni Melayu ke? Kacuk? Albino?”

“Aku pun tak pasti,” sambutku. “Elijah. Nama aku Elijah.” Tak tahu pula mengapa aku boleh jadi berani tadi. Padahal baru saja aku kenal Mia. “Mahu keluar minum dengan aku?” tanyaku, mengajak Mia tanpa rasa malu.


Mia tersenyum. Sangat cantik.


Tapi Mia bukanlah perempuan yang aku lukis jadi potret itu. Mia Suzanna ialah Mia Suzanna. Sangat cantik.


Lewat petang itu, aku pulang ke rumah nombor 54 dengan hati yang lapang. Hatiku kembang-kuncup. Hatiku berbunga-bunga. Hatiku gembira bukan kepalang.


Mengapa yang aku rasa begini?


Mia Suzanna. Mia Suzanna. Hatiku mengulang nama itu berkali-kali. Mia. Mia. Mia.


Apa yang aku rasakan ini?


Aku mengatur langkah ringan ke pintu utama. Secara automatik, mataku naik ke tingkat empat. Aku lihat Odelia termenung di balkoni. Hajatku ingin memanggil dia sekadar untuk bertegur-sapa. Tapi tak sempat pun. Odelia masuk semula ke rumahnya. Sekilas aku nampak wajahnya sedih.


Odelia menangis?

0 gossip (s):