Aroma kopi panas membuatkan aku tenang. Tanganku asyik menekan butang-butang pada remote control, mencari-cari jika ada rancangan menarik. Chloe sedang terbaring di dalam kamarnya, seperti letih kerana bekerja sepanjang hari. Aku tersenyum.
Aku sandarkan kepalaku ke atas kusyen yang empuk. Sambil berfikir apa yang akan aku masak esok.
Mataku memandang ke atas. Tingkat 6. Setahu aku memang tiada siapa di sana. Tidak pernah pula aku dengar bunyi tapak kaki. Atau mungkin juga tidak kerana lantai batu. Tetapi tiada pula tanda-tanda ada orang di tingkat 6. Tiada bunyi kerusi diseret. Atau sudu, pinggan atau apa-apalah yang jatuh ke atas lantai. Memang tiada sesiapa sepatutnya.
Dan tak pernahlah pula aku ambil peduli sehinggalah ke hari ini.
Odelia dan Elijah, Mamat Ground Floor yang baru aku tahu namanya, membantu aku mencari Chloe. Entah bagaimana Elijah mencadangkan untuk kami ke tingkat 6. Pada ketika itu, aku terasa mungkin jua Chloe ada di dalam bangunan. Kerana pintu depan memang tertutup rapat. Bila aku menjeling pada tingkat bawah di mana Elijah tinggal, tiada pula tingkap yang terbuka.
Maka kami bertiga naik ke tingkat 6, seperti sekumpulan penyiasat yang mencari petanda. Sempatlah berbual sedikit dengan Elijah dan Odelia.
'Kamu kerja apa?', tanya Odelia pada Elijah. Gaya soalan Odelia seperti bercakap dengan orang yang baru belajar Bahasa Melayu. Aku seperti ingin ketawa, tetapi aku tahan, lalu memandang ke atas dan tersenyum.
'Oh, freelancer. Aku kerja dari rumah,' jawab Elijah.
'Saya ini cikgu. Cikgu sekolah rendah,' Odelia memberitahu. Terdengar seperti dia merendah diri. 'Harith berkerja di syarikat penerbitan'.
'Yup, I handle majalah,' aku menyambung dengan pantas.
Kami sampai di muka pintu Tingkat 6. Juga ada cat flap di pintu. Tanganku mencapai tombol pintu tetapi pintu itu terkunci.
'Pintu ini dikuncilah', rungut aku.
'Hmm, biar aku tengok ikut lubang ini,' kata Elijah sambil membongkokkan badannya. Cat flap ditolak luas-luas. Geli hati aku kerana kami bertiga tak ubah seperti kanak-kanak yang bermain.
'Biru! Biru!', panggil Elijah. Chloelah! Apa biru pula? rungut aku dalam hati. Tiba-tiba kami terdengar bunyi kucing mengiau dari dalam rumah.
'Eh eh, saya dengar bunyi Kuali!', jerit Odelia gembira. Ini lagi seorang, Chloe... Chloe... aku menjerit dalam hati.
Tidak berapa lama Elijah seperti mengangkat sesuatu. Chloe keluar dari cat flap, dalam dakapan Elijah dan nampaknya dia sukakan Elijah. Odelia mengusap kepala Chloe sebelum Elijah menghulurkan Chloe kepada aku.
'Ada perabot', ujar Elijah.
Aku dan Odelia terpinga-pinga, tidak faham.
'Ada perabot dalam rumah ini,' kata Elijah lagi. Tiba masa untuk aku dan Odelia pula membongkok untuk melihat ke dalam. Tidak berapa jelas kerana ada tabir untuk mengelakkan orang melihat ke dalam. Tetapi memang betul kata Elijah, boleh nampak kerusi, meja makan dan juga almari. Cukup untuk menjelaskan tingkat ini tidak kosong seperti yang aku fikirkan.
Brrrrrrrr...., bunyi telefon bimbitku di atas meja menghentikan lamunan.
Mesej dari Rosa. 'Of course I datang. Dah lama tak rasa masakan you'. Aku tersenyum. Malam esok aku akan memasak untuk mereka. Odelia, Elijah dan Rosa. Sudah 3 bulan di sini. Ini kali pertama aku buat housewarming party!
1-14 Tingkat 6
Labels: Harith Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment