1-13 Elijah Darcy bertemu Odelia dan Harith

Aku berdiri di muka pintu, mendengar dua pasang derap kaki menuruni tangga. Perempuan Tingkat Empat, Odelia dan Lelaki Tingkat Lima, Harith. Semakin dekat, bertambah laju pula degup jantungku. Kian hampir dan bertambah rancak getar hatiku. Aku menarik nafas, berusaha untuk tenang. Mataku fokus pada anak tangga.


Dan dia muncul. Odelia.... Harith juga bersamanya.


Pandanganku terpaku pada mata coklat itu. Odelia jadi beku. Aku pula kaku. Cepat-cepat aku alihkan perhatian kepada Harith yang tersenyum satu macam. Senyum balasku tak jadi.


“Cari Biru?” tanyaku selepas beberapa saat dalam senyap. Odelia dan Harith macam terkejut. “Er, maksudku... kucing biru yang Encik Harith bela?” Melopong pula mereka. “Aku beri Biru, er... kucing tu makan tadi. Lepas tu dia hilang. Aku sedang cari kucing tu.” Peneranganku itu tak disambut dengan pemahaman.


Ah, perlukah aku berbahasa Inggeris supaya mereka faham?


“Let’s go and find that poor cat together,” kataku.


“What is your name?” Odelia bertanya.


“Elijah Amru Darcy,” jawabku penuh. “Panggil Elijah aja.”


“You understand Malay?” tanya Harith pula.


“Mak aku Melayu, papaku British yang dah lama tinggal di Indonesia,” terangku lagi. “Jadi, ya. Aku faham Bahasa Melayu dan aku boleh berbahasa Melayu.” Kemudian aku melangkah ke laman. Mataku menyeluruhi ruang laman itu sekali lagi. Di manakah Biru?


“We are looking for Chloe....” Harith berkata, mengekoriku.


“Cakap Melayu ajalah. Senang.” Aku balas, malas-malas.


Harith tersengih. Dia menyelak kain-kain di ampaianku, mencari Biru atau Chloe atau kucing itulah....


Odelia ketawa kecil. Dia membongkok dan meninjau ke bawah Myvi di parkir. Mungkin kucing itu sembunyi di situ Kemudian dia berkata pula, “Kami dah cari di dalam rumah tadi. Tak ada juga. Awak dah cari di luar, tak jumpa. Ke mana lagi Chloe boleh pergi?”


Aku tak tahu mengapa.... Tapi mataku terus naik ke tingkat enam tanpa balkoni itu. Odelia ikut memandang. Harith pun.


Lalu kataku, “Kita cuba cari di tingkat enam.”

0 gossip (s):