1-22 Rosa

Terkejut.
Terkejut bila pintu diketuk dah Harith tercegat depan pintu.
Terkejut bila Harith beritahu Rosa ajak aku meneman dia shopping.

"Takpelah, segan pulak rasanya. Lagipun tak berapa suka shopping" aku respon pada Harith. Harith masih tercegat depan pintu, tak percaya jawapan 'tak berapa suka shopping' aku agaknya. Perempuan dan shopping tak dapat dipisahkan, itu pemikiran kebanyakan lelaki. The truth is shopping dan perempuan tidak dapat dipisahkan hanya jika ada duit yang mencukupi.

"Erm, sebenarnya tengah nak berjimat ni. Baru mula kerja kan.." aku jawab perlahan.
Harith buat muka merayu. Harith ni memang pandai buat macam-macam memek muka lah! Nak tergelak pon ada, serba salah pon ada, kasihan pon ada. Entah kenapa, kali ni aku mengalah. Mungkin sebab aku kasihan pada jiran aku yang sorang ni. Bila lagi aku nak releasekan tension dengan window shopping, sambil bantu Harith, sambil teman Rosa. Ini namanya membunuh tiga ekor burung dengan hanya melontar satu batu!

Belum sempat aku buka mulut setuju, Harith bersuara lagi
"Jangan risau pasal duit. Makan, minyak, semua saya settlekan. Awak just teman Rosa."
Macam tu lah lebih kurang apa yang Harith cakap. Aku tak berapa ingat sebab sibuk fikir nak pakai baju apa, sebab baju banyak yang belum basuh.

"Bagi lima minit" aku balas sambil senyum.
Muka Harith lega.
"Thank you! Saya tunggu kat bawah"

Tak perlu lebih lima minit untuk bersiap - t-shirt biru dengan muka cookie monster yang besar, jeans biru dan rambut diikat kemas. Aku turun, seperti biasa melintasi tingkat satu.
Aku curi-curi pandang keliling tapi tiada sesiapa. Aku nampak Harith menunggu.

"Kejap lagi Rosa sampai"
"Ok"

Dua minit kemudian kereta BMW silver meluncur perlahan dan berhenti di depan rumah.
Harith ambil posisi pemandu, Rosa berpindah ke sebelah tanpa sebarang perbincangan. Persefahaman orang yang bahagia bercinta barangkali, tak perlu beritahu tapi masing-masing faham sendiri.
Bila kereta dipandu Harith meluncur meninggalkan rumah nombor 54, aku masih mencuri-curi pandang ke arah tingkat satu. Mencari kelibat Elijah? Erm, mungkin juga mencari kelibat Kuali. Entah.

"What about this?" Rosa menunjukkan blouse warna coklat yang cantik, tapi terlalu sarat dengan batu2 besar di leher.
"Sarat sangat batu-batu kat leher tu. Ni macam fashion makcik-makcik.."
Rosa tergamam.
Oh Tuhan, sekali lagi aku menjadi celupar. Aku terdiam beberapa saat.
"Too honest! But I agree!" Rosa ketawa.
Fuh, lega.
Aku semakin semangat memberi pandangan pada setiap satu pakaian yang dipilih Rosa. Semangat sampai lupa yang Harith menunggu kami di luar.

"Er, tak pe ke Harith tunggu kita lama?"
"No worries, kejap je lagi ni, lagipun dia dah biasa. Bertuah tau I dapat boyfriend macam dia, very understanding"

"Jom pegi sana!" Rosa tarik tangan aku. Aku meringankan badan, merelakan diri ditarik.

Penat! dah lama aku tak penat berjalan macam nih. Lepas satu kedai, satu kedai kami masuk. Kasihan Harith, lepas kami selesai shopping nampak dia muka hilang mood. Lapar barangkali. Nasib baik Rosa pandai pujuk, sejuk terus Harith. Masa makan, aku biarkan mereka berbual.

"Sakit kepala sikit, tapi selalu macam ni. Takpe, kejap lagi ok lah" aku jawab bila Harith tanya kenapa aku diam. Hakikatnya aku tak mahu kacau daun. Aku mahu biarkan mereka bersembang berdua. Dan aku mahu melayan perasaan aku sendiri.

Hakikatnya, aku belajar sesuatu dari Rosa hari ini. Tanpa sedar Rosa mengajar aku supaya lebih menghargai orang-orang dalam hidup kita. Rosa membeli banyak barang, tapi bukan untuk dirinya seorang. Dia belikan untuk mama nya, adik perempuannya, pembantu rumahnya dan juga belikan aku sepasang kurung moden berwarna kuning cair dengan manik-manik warna merah di dada. Sangat cantik! Aku menolak, tapi dia mendesak. Dia kata itu caranya dia ucap terima kasih. Aku gembira dan sebak dalam satu masa.
Selesai mandi dan solat, aku capai telefon bimbit. Aku menunggu panggilan berjawab sambil memintal-mintal rantai tangan. Gelisah.

"Hello, apa khabar?"

0 gossip (s):