Hujan-hujan pun nak keluar? Aku tanya diri sendiri. Sepatutnya aku tanya dia, Lelaki Tingkat Lima itu. Tapi aku lihat dia asyik dengan SMS, jalan pun pakai langgar aku saja. Aku tak kisah. Aku malas mahu ambil kisah. Dia minta maaf. Aku lihat dia ada bayang-bayang. Macam orang biasa. Macam yang sepatutnyalah.
Tapi aku?
Aku cemburu dengan bayang-bayangnya. Aku tak jadi senyum. Ah, dia tak peduli pun agaknya. Dia sibuk dan mahu cepat.
Mataku menghantar Lelaki Tingkat Lima keluar dari laman rumah dengan kereta Mercedes yang baru sampai untuk menjemputnya tadi. Tak tahulah ke mana dia mahu pergi. Tak tahulah dengan siapa pula. Aku lihat dia memang seorang yang sentiasa sibuk. Mungkin juga sengaja menyibukkan diri. Jarang sangat dia di rumah. Pernah beberapa kali ada orang yang mencari dia. Setiap kali itu juga dia tiada di rumah. Setiap kali itu juga, mereka mahu naik ke atas, ke rumah di tingkat lima. Aku tak benarkan.
Kiranya aku macam jaga di sini pula....
Dan aku terus berdiri di pintu utama rumah ini. Aku bentangkan pandangan ke arah tasik di seberang jalan sana. Kepada jambatan itu. Kepada pohon kemboja. Kepada hamparan bukit-bukit hijau. Kepada awan hujan yang bergulung di langit sana. Aku dengar juga guruh yang menggetarkan jantungku. Dan petir yang menyilaukan.
Hujan terus lebat. Lalu aku memutuskan untuk masuk ke dalam dan buat teh panas. Oh, kalaulah ada kudap-kudapan lain. Aku idamkan sepinggan pisang goreng panas. Oh!
Aku melangkah ke pintu. Tapi mataku singgah sebentar ke peti surat. Ada satu sampul warna biru di peti untuk tingkat empat. Si Perempuan Tingkat Empat tak memeriksa peti suratnya tadi. Mungkin dia tak perasan pun. Selama ini, tak pernah aku lihat ada surat di situ. Jarang sekali posmen datang ke rumah nombor 54 ini.
Hari ini ada surat untuk Perempuan Tingkat Empat.
Mungkin surat yang penting. Aku mengambil surat itu. Tertulis namanya – Odelia Osman, Tingkat Empat, No. 54, Jalan Pemberley. Tulisannya kemas. Mungkin dari seorang lelaki?
Dengan tanpa sedar, aku sudah menapak empat tingkat ke atas. Sampai di pintu, aku selitkan surat itu di celahnya.
Kemudian, aku turun semula. Aku mahu buat teh.
1-06 Elijah Darcy di depan pintu
Labels: Elijah Darcy
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment