1-04 Elijah Darcy di petang Rabu

Aku berdiri membelakangi matahari petang itu. Bahangnya menggigit batang tengkuk. Aku biarkan saja. Selama hari ini aku di sini, dari pagi tadi hingga sekarang. Aku berdiri begitu saja. Di hujung jambatan, di tepi pohon kemboja ini. Bukan tasik kecil di depan itu yang ku perhatikan. Bukan juga rumah bernombor 54 di seberang jalan sana. Aku tak peduli semua itu. Aku memandang ke tanah. Bayangku tiada di situ. Pohon kemboja itu ada bayangnya. Malah, riak air tasik itu juga jatuh bayangnya ke atas muka tasik. Rumah nombor 54 itu ada bayang condong ke kiri. Aku?


Untuk kesekian kalinya, aku sedar bahawa aku tak punya bayang langsung!


Aku lepaskan satu keluhan kecil. Bukan putus asa. Ia sekadar satu manifestasi – begitulah. That’s it, kataku sendiri lagi.


Eksperimen gagal.


Tapi aku letakkan pandangan ke hadapanku sekali lagi. Di belakangku, matahari turun. Di depanku ini, tiada bayang-bayang juga.


Aku tak punya bayang-bayang!


Ah, to hell! Lalu aku menendang tanah untuk membuka langkah. Aku menyeberangi jambatan, melintasi Jalan Pemberley dan masuk ke laman rumah.


Di parkir, aku lihat Myvi warna coklat. Secara automatik, mataku tertancap ke tingkat empat. Perempuan yang tinggal di tingkat empat itu sudah pulang rasanya. Aku tak tahu namanya. Aku panggil dia Perempuan Tingkat Empat.


Mataku naik ke tingkat lima. Aku lihat balkoninya terbuka luas. Si Lelaki Tingkat Lima itu pun sudah pulang. Aku panggil dia begitu sebab aku tak tahu namanya juga.


Ah, mereka juga tak tahu namaku mungkin. Aku, Elijah Amru Darcy. Tahukah mereka yang aku tak punya bayang-bayang? Mereka tak peduli pun, rasanya.


Perempuan Tingkat Lima dan Lelaki Tingkat Lima dan aku. Kami bertiga saja di rumah nombor 54. Unit di tingkat dua dan tiga masih kosong. Di tingkat enam itu, aku tak tahulah. Aku tak pernah naik ke atas. Aku malas.


Aku pun malas nak ambil tahu.


Sampai di ampaian, aku mencapai beberapa helai baju dan seluar yang aku jemur pagi tadi. Sudah kering pun. Dari jauh, aku nampak awan mendung berarak dengan sarat air hujannya. Petang itu sudah gelap dengan bayang-bayang hujan.


Hujan pun ada bayang-bayang. Tapi aku?


Lalu aku masuk ke rumahku di tingkat satu melalui pintu dapur. Tak payah panjat tangga. Kalau mahu jemur kain baju pun senang.


Ah, agak-agaknya Perempuan Tingkat Empat dan Lelaki Tingkat Lima itu pun panggil aku begini – Orang Ground Floor, mungkin?


Aku ketawa sendiri.


Hujan pun sudah turun.

0 gossip (s):