Suis lampu dipetik. Cahaya dari lampu gantung bertebaran ke seluruh ruang. Ada permaidani parsi warna biru, sebuah katil besi saiz queen, sebuah kerusi malas di antara rak buku tinggi dan meja tulis di sisinya. Di sebelah kiri ada ruang dapur kecil dan bilik mandi. Ada juga balkoni yang menganjur ke luar. Dari situ, kelihatan senja sudah sampai ke hujung waktunya.
“Saya harap awak selesa...” Mia membuka bicara. Dia memimpin aku masuk ke dalam bilik di tingkat atas kedai buku Bookaholic itu. “Saya selalu lepak kat sini kalau malas nak balik rumah,” kata Mia lagi.
Semuanya begitu asing bagiku. Mungkin kerana aku tak ingat apa-apa. Mungkin kerana aku tak pernah ke sini pun. Aku tak tahu. Lalu aku tanya, “Aku tinggal kat sini ke?”
“Tak...” jawab Mia.
“Habis tu... kenapa Mia bawa aku ke sini?”
Mia diam. Dia melangkah ke balkoni dan melabuhkan diri di situ. Masih lagi diam. Angin senja bermain-main dengan rambutnya. Cahaya jingga matahari yang jatuh ke wajah tak terlawan peri cantiknya Mia.
Mia. Mia. Mia. Mia.
“Mia...” Aku panggil nama itu untuk memecahkan senyap di antara kami.
“Elijah...” sambut Mia. “I’m sorry. Tapi saya tak sanggup nak hantar awak balik... ke rumah nombor 54.”
“Kenapa?”
“Not for now...” Mia tak mahu menjawab. “Saya tak boleh...”
Aku ke balkoni untuk menemani Mia. Untuk beberapa lama lagi, kami hanya membisu. Panorama senja itu kami nikmati hingga ke jalur cahayanya yang terakhir.
“Aku boleh balik sendiri,” kataku.
“Elijah, jangan...” Mata Mia menangkap pandanganku. Dia seperti tak mahu melepaskan aku pergi. “Please....”
“Kenapa, Mia?” tanyaku lagi. Itu saja yang mampu keluar dari mulutku.
“Sebab Harith.”
“Kenapa dengan dia?” Aku bertanya lagi. Sememangnya banyak yang aku tak tahu dan tak pasti. Tentang Mia. Tentang Odelia. Tentang Harith. Tentang Rumah No. 54. Tentang perempuan dalam mimpi aku dulu. “What happened actually... between the two of you? Between us? Tolong beritahu aku.”
“Not for now, Elijah.” Mia ulang itu lagi. “Please....”
Sungguh-sungguh Mia merayu padaku. Sungguh-sungguh dia tak mahu menceritakannya. Mungkin belum masanya lagi. Tapi terlalu banyak persoalan yang menggasak kepalaku. Bertubi-tubi. Aku rasa agak pening.
“You’re right. You need time...” kataku. Aku lepaskan satu keluh kecil. “Kalau Mia ceritakan pun, aku tak faham. Aku tak ingat apa-apa. It won’t make any sense. I need time too.” Aku masuk semula. Aku duduk di katil untuk cuba menghilangkan rasa berpinar-pinar.
“Are you okay, Elijah?” tanya Mia, risau.
“Aku nak rehat sekejap....”
Mia menolong aku untuk baring di katil. Dia periksa luka di kepalaku. Selepas pasti semuanya elok, dia selimutkan aku. Katanya, “Saya nak masak untuk awak. Awak nak makan apa?”
“Nasi... dengan telur mata... dengan kicap.”
Aku dengar Mia ketawa kecil. Aku rasa sangat mengantuk. Dalam mamai itu aku terasa bibir Mia mengucup keningku. Aku rasa aku tersenyum.
Mia. Mia. Mia. Mia.
Gelap.
0 gossip (s):
Post a Comment