Kepalaku sedikit pening. Rasanya aku tidur awal. Bangun juga awal. Tapi seperti aku berjalan sepanjang malam. Adakah aku masih berfikir tentang hal itu?
Tidak. Hari ini hari baru. Tidak lagi pening akan drama-drama dengan Mia. Tidak lagi gusar jika Rosa tidak mahu kahwin. Hanya gusar pada baju yang tidak diseterika.
Aku ada majlis rasmi yang perlu aku lawati. Aku masih belum dapatkan kembali seterika yang aku pinjamkan pada Zanna. Tadi siang, dia tiada di rumah. Aku fahamlah. Aku saja yang boleh buat kerja dari rumah. Fleksibel.
Mereka - Odelia dan Zanna - perlulah ke tempat kerja.
Elijah? Tiba-tiba hatiku terasa jengkel.
Tidak. Hari ini hari baru. Aku mahu buang jauh-jauh rasa benci aku pada Elijah.
Aduh. Mana bisa.
Biarlah. Kalau aku tidak fikir akannya, mungkin lambat laun aku mampu bersua dan tersenyum.
Mustahil! Itu kataku pada diri.
Biarlah. Aku tidak mahu fikir Elijah lagi. Juga Mia. Mula dari sekarang!
Aku kembali teringat akan baju yang belum digosok. Lantas aku turun ke tingkat 3. Mahu lihat jika Zanna ada di rumah. Walaupun sekarang ini waktu kerja. Tapi manalah tahu jika dia pulang waktu rehat sebegini.
Selepas beberapa kali pintu diketuk, tiada jawapan, maka aku buat anggapan yang dia tiada di rumah. Aku naik ke tingkat 4. Ketuk pintu rumah Odelia.
Eh, dia ada.
'Hai Odelia', tegurku.
'Eh, Harith!', mulutnya mengunyah sesuatu. Dia nampak seperti terkocoh-kocoh.
'You tak kerja ke hari ini?' aku bertanya.
'Kerja', katanya kaget. 'Saya balik rumah ni nak ambil barang. Ada pertandingan sayembara puisi. Saya in charge piala. Tak bawa pula pagi tadi,' terang Odelia. Dia hilang sekejap ke dapur.
'Boleh I pinjam iron?' jerit aku dari muka pintu.
'Ya, ya!', aku dengar Odelia menjerit dari dalam. Tidak berapa lama dia muncul dengan seterika. Bukan model yang keluarkan wap seperti kepunyaanku. Aku sedikit kecewa.
'Orang baru tingkat bawah pinjam iron I. Petang semalam I nak pergi mintak balik, tapi dia takde. Malam tadi pun dia takde. Keluar agaknya,' aku bercerita. Odelia tidak berapa endah. Dia menyambar beg tangan di atas kerusi dan kembali ke pintu depan.
'Saya betul-betul nak kena keluar. Sepatutnya tak boleh balik waktu-waktu macam ni', muka Odelia benar-benar panik.
'Okay okay,' kataku. Faham akan keadaannya.
'Bye Harith', kata Odelia di sambil mengunci pintu.
'Odelia, bukan awak balik rumah nak ambil piala ke?' tanyaku.
'Ah ya!' Odelia menepuk kepalanya sendiri. Aku tersenyum.
1-69 Seterika dan Piala
Labels: Harith Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment