1-54 Keliru

Aku buka tin yang diberi oleh Rosa. Dalam kekalutan dan rasa penuh tidak sabar untuk bertemu Odelia, dia sempat lagi mencari tin yang sebesar penumbuk itu dari dalam beg saiz 20 liter yang dia bawa. Kami naik ke tingkat atas bersama-sama.

Sebaik pintu tingkat empat dibuka, Odelia dan Rosa sama-sama menjerit. Aku menggelengkan kepala. Tidak faham kenapa perlu buat begitu. Padahal bukannya lama pun sejak kali terakhir mereka berjumpa. Dan Rosa tidak menjerit sebegitu ketika berjumpa aku. Ah, bagus juga. Kalau tidak mahu malu aku di balai ketibaan tadi.

Tin teh hijau itu aku letakkan atas kabinet di dapur. Aku memerhati dengan begitu lama. Aku ingatkan uncang teh yang terkandung di dalamnya. Tapi serbuk teh rupanya. Aku tertanya-tanya bagaimana bisa membancuh teh sebegini. Adakah seperti membancuh Milo. Aku tidak tahu.

Aku tutup tin itu kerana aku mahu tunggu Rosa. Biar dia yang buatkan. Aku menggaru-garu kepala. Tidak, bukan lagi teh itu yang aku fikirkan.

Aku menggaru-garu kepala kerana aku keliru. Aku tidak tahu apa yang aku mahukan. Rosa atau Mia?

Aku melangkah ke arah ruang tamu. Televisyen aku pasang dan aku diamkan bunyinya. Biar sekadar gambar yang bergerak. Tapi biar ruang ini sunyi. Hanya bunyi kereta dari luar yang kedengaran. Tirai balkoni aku tarik sedikit, supaya cahaya mentari tidak menusuk ke sofa yang akan aku duduk.

Aku hempaskan punggungku ke sofa yang empuk sambil nafas ku tarik panjang. Aku seperti mahu menangis kerna mindaku bertanya soalan yang sama entah berapa puluh kali dalam tempoh dua tiga hari lepas.

Aku lihat gambar kanak-kanak berlari riang di kaca televisyen. Diikuti dengan iklan barangan elektronik.

Aku pejamkan mata.

Aku suka kedua-duanya.

Mia seperti bidadari. Bukan, aku mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan dirinya. Dia gadis cantik yang datang dan juga pergi. Aku tahu yang bahagiaku bukan selama-lamanya tapi hati kecilku berkata, jika aku dapat satu perca dari syurga walaupun hanya sementara, aku tetap mahu biarpun sekejap.

Bila aku di sisinya, terasa suam dijiwaku. Biar Mia sekadar menghirup kopi panas di depanku. Atau membaca majalah atau buku. Aku mampu duduk memerhati dan jiwaku terasa penuh.

Mia tahu aku sukakannya. Mia tahu yang aku tahu - dia sekadar biasa. Aku keliru. Lepaskan dia begitu sahaja? Aku tidak tahu jika aku mampu sekadar mengalah. Walau itu yang telah aku lakukan.

Aku tidak tahu.

Mataku berair sedikit. Pedihnya memikirkan hal ini. Sambilku lemparkan pandangan ke arah tin teh di atas kabinet dapur. Tidak nampak pun dari di mana aku duduk. Tapi aku tahu tin itu di situ.

Aku mahu Rosa?

Rosa?

Wanita yang memilih sahabat dari teman. Bukan aku cemburu. Tapi itu kualiti yang aku suka. Wanita yang aku tahu aku mampu hidup dengannya selagi usiaku masih ada. Aku suka dan aku selesa.

Aku menghempas kepala ke belakang. Lalu aku pandang kipas angin yang berpusing-pusing di siling. Detik-detik jam dapat aku dengar dari jam dinding di ruang tamu.

How do you choose in between this two??

Aku menjerit di dalam hati.

0 gossip (s):