1-80 Sedu

Deruan airmata Mia baru berhenti. Aku biarkan mengalir. Aku tutup pintu supaya tidak dengar sampai ke luar. Mia duduk di kerusi, membelakangkan cermin lutsinar. Ada beberapa staf dah mula jeling-jeling. Aku rasa tidak selesa.

Apa hal tiba-tiba datang dan menangis. Sudah beberapa lama aku tidak dapat mesej atau panggilan Mia. Kali terakhir pun, hari itu, waktu aku nampak dia dan Elijah di laman rumah.

Kak Mar tiba-tiba berlalu di depan pejabat aku. Dia menjegilkan sedikit matanya sambil tangan digoyang ke udara. Maksudnya, 'kenapa tu?'

Aku mengangkat bahuku pantas, sambil dahi aku kerutkan. Maksudnya, 'tidak tahu'.

Kak Mar tunjukkan jam, dan tuding jari ke kiri. Maksudnya, 'meeting'.

Aku lihat jam. Ada lagi 10 minit. Aku angguk pada Kak Mar sebelum dia berlalu pergi. Maksudnya, 'I'll be there!'

10 minit untuk selesaikan masalah yang aku sendiri pun tidak tahu.

~

Sekarang aku di dalam bilik mesyuarat. En Farouk sedang bincang hala tuju majalah untuk tahun yang akan datang. Aku separa mendengar. Kak Mar duduk di sebelah aku. Sekali sekala dia menjeling ke arah aku. Mahu lihat aku okay atau tidak.

Dia menulis sesuatu di atas buku notanya dan meletakkan jari telunjuknya di atas perkataan itu, tanda mahu aku membaca. 'Apa tadi tu?'

Aku tahu aku tidak mampu menjawab hanya dengan dua tiga patah perkataan. 10 minit paling lama yang pernah aku lalui. 10 minit yang paling sukar. Tapi - tiada sesalan. Aku yakin apa yang aku lakukan demi yang terbaik. Bukan saja untuk Mia. Tapi juga untuk aku.

Tiga empat kali aku tersentak dengan kata-kata Mia.

Dah kahwin? Bila?

Dah kahwin dengan Elijah? Apa bisa begini pantas?

Masih cinta padaku? Luka lama berdarah kembali.

Aku terasa seperti hujan, ribut, puting beliung melanda diriku. Penuh dengan pelbagai emosi. Kecewa. Marah. Sedih. Keliru.

Tapi pada saat itu. Aku buat keputusan untuk pentingkan diri sendiri. Aku tahu aku mampu berkata 'I still love you' dan aku tahu aku memaksudkannya. Tapi ini isteri orang. Biar kelat untuk aku terima kenyataan itu, ini tetap isteri orang. Biarpun aku tahu aku dapat sakiti hati Elijah, tapi ini tetap isteri orang.

Suasana sepi seketika bila Mia menunggu respon dariku.

Segala yang telah kami lalui kembali dalam memori. Perasaan suka, sayang, rindu melawati jiwa kembali. Aku pandang akan muka Mia. Masih cantik seperti dahulu. Masih memberiku getar tika memandang wajahnya. Mia mengesat air matanya. Kurang sedikit esakan.

Aku tertanya pada diri sendiri apakah yang patut aku lakukan?

Aku tarik nafas panjang.

Aku hembus.

Aku lihat langit cerah melalui jendela seolah-olah mencari jawapan.

Akhirnya aku pandang kembali kepada Mia yang penuh pengharapan.

'I am not in love with you anymore,' aku berkata tegas. Aku pandang tepat ke muka Mia biar dia anggap aku memaksudkannya. 'Go back to your husband!'

Mia berhenti menangis. Agaknya begitu terkejut akan reaksi yang aku berikan.

'Sorry', katanya lemah, sambil mengambil beg tangan di sebelah meja dan berlari keluar dari bilik aku.

5 saat.

10 saat.

30 saat.

Aku lega kerana aku tidak berlari mendapatkannya untuk mengubah fikiran.

Aku tarik nafas panjang. Aku ambil fail dari dalam laci, buka dan pastikan itu fail yang betul. Lalu aku melangkah keluar ke bilik mesyuarat.

0 gossip (s):