1-73 Kotak

"Dell, housemate aku kawin hujung tahun ni. So, bilik dia kosong. Aku just terfikir kalau ko nak pindah masuk duduk dengan aku. Best jugak kalau kita dok sama" sergah Suri tiba-tiba di kantin sambil melabuhkan punggung di kerusi depan aku. Semerbak bau soto dari mangkuk yang diletak di depannya.

"Aku bukan tak nak, tapi aku malas la nak pindah-pindah. Barang banyak. Lagipun, aku ok je duduk kat Jalan Pemberly tu" aku suap nasi goreng berlaukkan telur mata, bekal dari rumah.

"Tau, aku saje cakap. Kalaulah kau nak. Aku suka je orang yang kenal masuk ganti kawan aku ni. Kalau orang yang kita tak kenal ni susah sikit. So, bagitau aku ek kalau ko ubah fikiran."

"Suri, ada benda nak cakap ni.." aku kuis-kuis nasi dalam bekal. Serba salah.

"Apa?" Suri sumbatkan soto dalam mulut.

Aku letakkan sudu. Aku tarik nafas panjang-panjang.

"Aku tak apply untuk sambung kontrak tahun depan. Aku ingat nak berenti hujung tahun ni. So, memang aku tak dapatlah nak duduk dengan kau."

Suri tersedak. Oh Tuhan! dia ni suka betul bagi respon mengejutkan!

"Makan tu cuba pelan-pelan" Aku suakan air. Sedakan Suri sudah berhenti. Tapi hidung Suri jadi merah. Matanya berair.

"Kenapa kau nak berhenti? Dapat kerja lain ke?" Suri kesat air dari hidung dengan tisu.

"Aku ingat nak cari kerja kat area Greentown. Tak pon apply sambung belajar. Tengoklah macamana."

"Kenapa Greentown?"

"Harley kan duduk area situ. Senang sikit."

"Harley?"

"Bakal suami aku lah."

"Benci lah aku dengan kau ni Dell! Tak pernah pun cerita apa-apa dengan aku. Tetiba je ko cakap nak berenti kerja sini. Lepas tu kau cakap nak duduk dekat dengan bakal suami pulak. Ntah-ntah kau nak minggu depan pun aku tak tau," suara Suri macam kecil hati.

"Sorry Suri. Aku ni bukan pandai bercerita macam kau. Tapi kau jangan risau, kenduri aku tahun depan. Ni aku bagitau awal-awal. Jangan kecik hati ye?"

Suri masih diam.

"Suri, aku ada kelas lepas rehat. Aku pergi dulu ek. Janganla merajuk dengan aku. Nanti aku sedih," aku kalut kemaskan bekas makanan yang masih berisi.

Aku terpaksa tinggalkan Suri yang masih berdiam diri. Memang aku tak pandai bercerita tentang kisah aku. Aku lebih suka mendengar kisah orang lain. Hanya dengan Rosa aku banyak bercerita hal Harley.
Dan aku masih belum bercerita pada Rosa tentang perancangan mahu pindah keluar. Tentang rancangan kahwin yang ditunda Harley ke tahun depan. Harley sangat memahami, memberi masa supaya aku lebih bersedia. Hanya Tuhan sahaja yang tau betapa leganya aku bila Harley maklumkan dia mahu tunda perkahwinan ke tahun depan.

'Terima kasih Harley kerana sentiasa ada untuk aku. Sentiasa faham aku.'

~

Malam baru aku balik dari sekolah. Terlalu banyak urusan yang perlu aku siapkan. Sebaik melangkah masuk ke rumah nombor 54, aku letakkan kotak berbalut yang dilekatkan nota di pintu tingkat satu. Aku tidak tahu Elijah ada atau tidak. Yang aku tahu, aku mahu selesaikan 'hutang' aku dengan dia.

Aku panjat tangga perlahan-lahan. Sampai di tingkat 3 aku nampak kotak-kotak besar di satu sudut. Aku memang perlukan kotak untuk berpindah nanti. Tapi kotak ni milik siapa? Ada orang baru di tingkat 3?

Aku ketuk pintu sambil memberi salam.

Tiada jawapan.

Aku ketuk lagi.

Masih tiada jawapan.

Tiada orang barangkali. Sebaik aku berpusing untuk melangkah ke tangga, aku dengar pintu dibuka. Muncul seorang perempuan muda yang bergaya. Aku rasa macam pernah nampak, tapi entah di mana.

Aku senyum.

"Hai, baru pindah ke? Saya Odelia, duduk tingkat empat."

Dan dia hanya membatu di situ.

0 gossip (s):