Mia. Mia. Mia. Mia.
Nama itu mengisi sepelosok sedarku dari semalam. Aku tak dapat tidur langsung. Bagus juga. Tak perlu aku bermimpikan perempuan dalam mimpiku itu. Biar aku teringatkan Mia saja.
Mia. Mia. Mia. Mia.
Aku biarkan nama yang kusebut di bawah nafas itu terbang bersama angin pagi. Angin yang singgah, bawalah nama ini kepada tuannya. Terbangkanlah hangat cintaku sampai ke pelipis dahi Mia. Kucupkan ia untukku. Eceh!
Mia. Mia. Mia. Mia.
Aku menggeleng kepala sendiri. Rasa kelakar beremosi di pagi-pagi buta begini. Pagi yang sangat dingin. Sendirian, tanpa Mia. Ah!
Aku terdengar alunan lagu ini dari tingkat atas.
Yesterday// yes a day//Like any day//Alone again for everyday//Seemed the sad way//to pass the day//living my life without him//Don’t let him go he’s found my shadow//don’t let him go....
Dari tingkat tiga? Siapa di atas sana? Aku mendongak dari hujung balkoni. Ada seorang perempuan di situ. Siapa? Aku senyum selepas berhempas-pulas memaksa otot bibirku yang kaku. Dia membalas dengan senyum ramah. Dia melambai kepadaku.
“Morning! Nice weather, eh?” Laungnya dari atas.
“Morning! Nice weather to start a fresh day.” Aku melaung kembali. Berjaya juga memaniskan senyumku di hujung ayat tadi.
“Got to go. See you later”
“Yeah, see you later.”
Perempuan itu masuk semula. Bagus juga. Tak payah aku berbasi-basa dengannya. Aku tak pandai!
Kecuali dengan Mia. Mia. Mia. Mia. Mia.
Sekilas kulihat perempuan tadi, aku mengagak yang dia pandai menjaga penampilan diri. Mungkin agak keterlaluan juga. Aku lebih suka Mia dalam segala kesederhaannya. Tanpa mekap, baju bunga-bunga atau aksesori melampau-lampau. Aku lebih suka Mia.
Kalau dibandingkan perempuan itu dengan aku yang hanya berseluar jeans, aku rasa bogel. Lalu aku masuk ke dalam juga. Pagi di luar itu sedah telalu dingin untukku. Tanpa Mia....
Aku keluarkan sebatang Dunhill dan menghidupkannya. Aku merokok lagi. Dos nikotin dan tar itu aku sedut senafas. Ubat untuk kedinginan itu. Di hadapanku, tegaknya sebuah kanvas besar. Sejak semalam hingga pagi ini, aku tak tidur. Sebaliknya aku melukis. Lukisan untuk Mia itu sudah separuh siap. Potret Mia tanpa Mia. Aku capai berus dan palet warna. Bersama setiap calitan warna ke kanvas, aku sebut namanya.
Mia. Mia. Mia. Mia.
0 gossip (s):
Post a Comment