1-55 Elijah Darcy dan Mia lagi

“Elijah... pulanglah.”

Aku mendengar suara itu sayup-sayup dari tingkat atas. Aku naik. Anak tangga demi anak tangga aku panjat ke tingkat demi tingkat. Akhirnya aku sampai ke tingkat enam.

“Saya tunggu awak, Elijah.”

Suara itu terdengar jelas dari balik pintu. Aku menguak pintu itu. Di hadapanku, seorang perempuan sedang berdiri. Perempuan itu. Dia tersenyum kepadaku.

“Saya tunggu awak pulang.”

Aku terjaga. Suasana suram bilik mengisi pandanganku yang berpinar-pinar. Aku menolak diri untuk bangun. Aku menyeluruhi isi bilik itu. Aku lihat Mia sedang terlena di kerusi malas. Di pangkuannya ada sebuah buku; Love For Dummies. Aku tersenyum sendiri. Ada juga buku macam tu? Aku melepaskan hujung kaki di birai katil untuk duduk menghadap Mia.

Mia. Mia. Mia. Mia.

Lama aku begitu. Hanya menatap wajah Mia yang sedang tidur. Sesekali dia berkalih posisi. Aku masih membiarkan fokusku pada Mia. Aku mencedok segala ketenangan selama Mia menikmati tidurnya. Sampailah Mia terjaga.

“Elijah... awak tak tidur?” Mia bertanya.
“Aku lebih suka lihat Mia tidur....”

Muka Mia berona merah. Mungkin malu kerana sedar aku sudah terlalu lama memerhatikannya. Mungkin juga malu kerana aku nampak buku Love For Dummies itu. Dia meletakkan buku itu ke atas meja tulis. “Dah pukul berapa ni?”
“Pukul 6.30 pagi,” jawabku selepas mengerling ke jam di dinding.
“Elijah, saya nak bersiap. Awak...”
“Aku tahu,” sambutku terus.

Aku melangkah ke balkoni dan menyelak langsir untuk menutup pintunya. Privasi untuk Mia bersiap dan mengemas diri. Aku hanya dapat mendengar bunyi dari bilik mandi. Pandanganku pada suasana pagi yang baru bangkit selepas malam.

Begitulah keadaan aku dan Mia sejak beberapa hari seminggu ini. Pelik juga aku. Mia boleh saja pulang ke rumahnya. Di sana tentu lebih selesa. Tapi Mia kata dia mahu menemani aku. Dia yang memasak untukku. Dia yang mendodoi aku tidur. Dia yang menenangkan aku waktu aku terjaga dari mimpi buruk pada malam-malam sebelumnya.

Malam tadi aku bermimpi yang biasa saja. Mimpi tentang perempuan itu. Ah, siapa sebenarnya perempuan itu?

Aku terdengar Mia menyanyi dari dalam bilik mandi. Lagu entah apa. Tapi suaranya sangat merdu. Sangat padan dengan wajahnya. Sangat sempurna.

Mia. Mia. Mia. Mia.

Lalu aku pun ikut menyanyi. Laguku; When I Fall In Love.

“Suara awak sedaplah, Elijah....” kata Mia. Dia sudah siap menukar pakaiannya. Hanya tinggal untuk mengeringkan rambut. Mia tak mengenakan apa-apa solekan pun. Cantiknya asli dan segar. “Pandai melukis pula tu,” kata Mia itu merujuk kepada potret-potret yang aku lukis semenjak keluar dari hospital, untuk mengisi masa bosanku. Ada potret Mia, pemandangan dari balkoni, lukisan dan lakaran subjek yang bermacam-macam. Ada potret perempuan itu juga. “You’re such a talented man,” kata Mia lagi.

“And you’re so beautiful, Mia.”

Wajah Mia naik rona merah lagi. Dia membawa wajah ke cermin, tak mahu bertentang mata denganku. Malu. Mia menyanggulkan rambutnya. Dia sudah siap. “Saya nak turun, buka kedai. You take care, okay?” Mia mencapai gugusan kunci di atas meja tulis. “Saya akan balik waktu lunch.”

“Aku nak ikut Mia,” kataku sambil menyarung baju.
“Awak rehatlah. Tidur.”
“Kalau aku tidur. Aku akan mimpikan perempuan tu lagi.”
“You’re still unwell, Elijah.”
“Or I’ll die of boredom!” Aku sangat-sangat bosan. Terperuk dalam bilik tanpa buat apa-apa selain melukis, tidur dan bermimpi yang bukan-bukan.
“Buat apa awak nak ikut saya?”
“I’ll work for you.”
“Elijah...”
“Seriously, please. Aku nak tolong Mia. Mia dah banyak tolong aku.” Aku sudah siap pakai kasut. Menunggu masa untuk keluar saja.
“Okey...” sambut Mia selepas beberapa lama diam memikirkan. “But don’t push yourself too hard.”
“I won’t.” Lalu aku kucup dahi Mia. “Thanks, love.”

0 gossip (s):