Hari ini biasa-biasa sahaja.
Wanita dalam hidup aku sekarang, Rosa, keluar shopping dengan jiran wanitaku Odelia. Baru hendak ajak keluar makan, mereka sudah terlebih dahulu buat rancangan. Katanya ada jualan murah bermula hari ini.
Aku di pejabat hari ini.
Seorang gadis melirik manis padaku ketika di dalam lift di bangunan pejabat. Aku membalas dengan senyuman. Dia keluar di tingkat 3. Tidak pernah nampak pula sebelum ini. Aku menjenguk sedikit kepala ke luar bila dia melangkah keluar. Beg tangannya yang berbunga-bunga nampak manis dengan bajunya yang cukup sopan.
Tingkat 10 - aras untuk pekerja-pekerja syarikat kami.
'Kak Mar, tu pekerja baru ya?', aku menjengah ke bilik Kak Mar. Pintu cermin telah ku tutup rapat.
'Hah, Harith! Tu akak punya assistant. Jangan kau kacau pulak! Takleh buat kerja nanti budak tu!', Kak Mar tegas memberikanku amaran. Aku tersengih seperti kerang busuk. 'Kau dah siapkan ke proposal yang Encik Farouk nak tu?'
'Dah,' kataku.
'Oh, padanlah nak menggatal ni?' kata Kak Mar sinis. Kak Mar sudah mula bekerja di sini lebih lama dari aku. Aku hormat dia seperti kakak sendiri. Sekarang, dia bertanggungjawab bagi kolum keluarga dalam majalah kami.
Cukuplah aku ganngu Kak Mar hari ini. Aku lantas keluar untuk membancuh kopi di bilik rehat. Suasana tempat kerja sibuk seperti biasa. Aku menyapa teman-teman sepejabat. Tidak mahu berbual-bual kerana semuanya sedang menumpukan sepenuh perhatian pada kerja.
Oh, tidaklah juga. Si Adam itu sedang melayari Facebook. Milla pula menonton video di Youtube. Ake pula sedang chat dalam YM. Bila aku lalu, dia berpura-pura menaip di Words, tapi boleh nampak ikon YM yang berkelip-kelip di taskbar.
Tiada siapa di bilik rehat. Aku cepat-cepat buat kopi dan kembali ke pejabatku. Dari balik cermin lutsinar, aku nampak satu susuk tubuh dalam bilikku berdiri membelakangkan pintu.
Eh, Mia.
Sudah. Baru aku ingat ini hari biasa tanpa drama.
Sebaik sahaja aku buka pintu, dia berpusing ke arahku. Dan aku disambut dengan tangisan dari gadis ini.
1-78 Kromosom XX
Labels: Harith Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 gossip (s):
Post a Comment