Petak-petak siling menyambut pandanganku. Aku depa tangan ke meja di tepi katil untuk mencapai jam. Sudah pukul 7.20 pagi. Aku menggosok muka. Pandanganku semakin segar. Aku menyeluruhi isi bilik. Bilik aku sendiri. Di Rumah No. 54.
Aku sudah pulang. Mia yang menghantar aku pulang, semalam.
Aku sudah ingat segala-galanya. Begitu saja. Seolah-olah selama ini aku tidur dengan terlalu nyenyak. Lalu aku terjaga. Sakit di kepalaku sudah hilang. Begitu saja. Aku ingat segala-galanya. Tentang Mia. Tentang Odelia. Tentang Rosa. Tentang Harith.
Ah, Harith! Sanggup dia perlakukan Mia sebegitu? Sanggup dia mempermainkan perasaan perempuan? Sanggup dia melukakan hati Mia? Sanggup dia?
Kalau tak kerana Mia menggenggam tanganku, sudah pasti satu lagi penumbuk naik ke muka lelaki itu! Biar dia rasakan. Sakit yang dia rasa nanti tak seperti seksanya Mia memendam perasaan.
Mujur Mia menahan tanganku yang sudah membuak-buak dengan amarah yang melimpah dari hatiku yang membara. Jari-jemarinya menyulam rasa tenang yang menyelinap ke jiwaku. Aku tahan amuk perasaan. Aku bertenang.
Aku paksa diri untuk senyum kepada Harith.
Dia membalas dengan senyum beku dan pandangan dingin.
Mia menggenggam tanganku dengan lebih erat.
Ah, Harith! Sanggup dia!
Harith meninggalkan aku dan Mia. Dia bersama Rosa dan Odelia naik ke atas. Tak pedulikan kami. Rosa seakan mahu menegurku. Mungkin juga dia tak perasankan aku sebelum itu. Belum sempat Rosa buka mulut, Harith menariknya ke atas. Odelia pula mengikut saja. Dia sekadar senyum kecil kepadaku.
Jantungku berhenti berfungsi di situ.
Aku kuatkan genggaman tanganku dengan Mia. Lalu jantungku berdegup semula.
Odelia juga naik ke tingkat atas. Tinggallah aku dan Mia di laman yang dingin. Aku memimpin Mia masuk ke rumah. Aku rasa genggaman tangan Mia semakin dingin.
“I need time, Elijah.” Mia berkata, tiba-tiba.
“Okay....” Aku tahu.
“I have to go now.”
Aku lepaskan tangan Mia. Aku temukan dahiku dengan dahi Mia. Aku hirup nafas yang senafas dengannya. Kataku, “Aku akan tunggu Mia.”
Aku dan Mia bertentangan mata. Sangat lama. Macam selama-lamanya.
“Goodbye, Elijah.”
Lalu Mia tinggalkan aku sendirian. Semalam itu tambah dingin.
Sekarang sudah pukul 7.35 pagi. Aku bangun dan menyarung jeans. Langkah aku buka ke dapur. Aku jerang air.
Ada bunyi mengiau. Chloe? Di mana? Aku cari puncanya. Aku cari Chloe. Kucing biru itu ada di bilik melukisku. Dia mengiau. Aku angkat Chloe ke pangkuan. Rindu! Dia menjilat wajahku yang belum bercukur. Kemudian dia mengiau lagi. Kali ini kepada potret di depanku.
Perempuan dalam mimpiku.... Ah, pedulikan!
“Macam mana Chloe boleh masuk ni?” tanyaku. Aku bawa kucing itu ke ruang tamu. Pintu balkoniku terbuka agak luas. Oh, patutlah.... Dari celahnya, aku lihat seorang perempuan berlari-lari mengejar teksi. Sangat kelam-kabut! “Aku tak ada makanan. Chloe balik rumah Harith dulu, okey?” Aku buka pintu.
“Hey, gorgeous! Nice shoes!”
Ah, Harith!
Aku diam. Harith membisu. Hanya senyap yang terapung di antara aku dan Harith. Dia mengemaskan lipatan akhbar yang diperosok ke bawah ketiak. Aku menggosok belakang telinga Chloe.
Chloe mengiau.
“Aku minta maaf...” ucapku, akhirnya. Ayat itu keluar senafas.
Tanpa sebarang reaksi, Harith naik ke atas. Kemudian, selepas beberapa anak tangga, dia bersuara tanpa menoleh kepadaku. Katanya, “She’s yours.”
Siapa? Chloe?
Atau Mia?
0 gossip (s):
Post a Comment