Aku merapatkan kaki sampai ke dada, berteleku di atas sofa. Erik dan Suzie masih di luar rumah, suara mereka memecahkan kesunyian malam. Tidak lama, aku dengar bunyi tapak kaki menuruni tangga. Bunyi pintu di buka, Erik masuk terus menuju ke bilik tidur, menyalin pakaian. Dia kemudian keluar bilik, mengucup dahi ku dan berlalu ke luar.
Darah di hujung bibirku mula membeku. Bengkak di bibir mula terasa, aku terasa hangat tamparan masih belum hilang. Air mataku mula mengalir laju. Muka dibenamkan ke ke lutut dan tapak tangan aku kepalkan berkali-kali. Aku cuba menarik nafas dalam-dalam, tetapi hilang upaya. Aku teresak-esak, ada benda yang tidak lepas keluar dari dada, yang terbuku jadi gumpalan keras membara. Geram, marah, sedih semuanya bercampur aduk jadi perasaan yang tidak boleh dijelaskan.
ARGHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH!!!!!!!!!!!!!!
Aku menjerit sekuat hati. Gemanya melantun dalam ruang tamu rumah beberapa kali sebelum senyap ditelan malam. Bunga ros merah dan kotak coklat yang berada di atas meja depan sofa, aku campakkan ke dinding. Kelopak-kelopak bunga bersepai sebaik sahaja bertemu dinding, coklat dalam kotak melantun ke atas lantai. Aku bangun, ada perasaan yang membara yang perlu dilepaskan. Pinggan dan cawan atas meja makan menjadi sasaran seterusnya. Aku angkat dan campakkan ke ruang tamu, makaroni bakar yang masih tinggal sebahagian bertaburan mengotori lantai. Air kosong membasahi lantai. Aku masih belum puas hati.
Kenapa Erik balik? Erik perlu bersama aku, dia perlu menenangkan aku. Kenapa dia balik mengejar Suzie?
Aku buka pintu dan berlari ke bawah.
Mungkin Erik tidak jadi balik, mungkin dia sedang menunggu di bawah, menunggu masa untuk naik semula ke atas.
Aku sampai di bawah, malam semakin lewat. Hanya bulan penuh yang bersinar terang.
Aku lihat sekeliling, kereta Erik sudah tiada. Aku berlari ke arah jalan raya.
Erik mesti ada! Erik mesti datang balik padaku! Erik mesti menenangkan aku! Aku sakit di tampar!
Aku tidak habis-habis berfikir begitu.
Aku perlukan Erik!
Langkahku semakin pantas,jalan sudah kosong, lengang. Malam sudah lewat.
Aku terhenti di lorong tiga blok dari rumah No. 54. Aku duduk bersandar di dinding kedai. Tangisanku makin kuat. Aku cuba menarik nafas, seakan tidak boleh. Aku tercungap-cungap. Aku kesat air mata yang semakin laju dengan lengan baju. Beberapa orang yang lalu lalang, melihat aku kehairanan, tetapi tidak jadi menegur selepas melihat aku bagai orang gila. Lama aku di situ.
Erik tiada! Dia pulang kepada Suzie! Dia pulang kepada Suzie!
Aku bangun akhirnya, menuju kembali ke rumah No 54, dingin malam mula mencucuk tulang, angin bertiup perlahan. Aku memeluk diri sendiri.
Sampai di depan rumah, aku terjelepok di laman. Aku tidak mahu masuk dalam rumah, tiada sesiapa yang menunggu. Aku juga tidak mahu orang lain. Aku hanya mahukan dia, dan dia balik kepada isterinya, menjadikan aku ini apa?! Berfikir tentang itu buat air mata makin mengalir deras.
Kenapa sekejap benar semua bahagia direntap pergi? Kenapa tidak boleh jadikan bahagia milik aku selamanya? Hanya sekejap pun tidak mengapa, hanya beberapa jam. Hanya beberapa jam yang aku pinta.
Aku teresak-esak menangis di laman, berbaring dilaman, melihat malam gelap, bintang berkelip terang, bulan mengambang penuh. Cuma hati aku gelap tanpa cahaya. Aku menafas cepat-cepat, seolah semua udara sudah berhenti bergerak, sampai tiada yang masuk ke peparuku. Dada aku sakit. Aku ketuk dada dengan kepalan penumbuk kuat-kuat. Tangisanku makin kuat.
Ada bayang yang menghampiri.
‘Zanna’ Harith menegur. Dia berteleku di sebelahku. Wajahnya bimbang.
Aku memandangnya tanpa perasaan. Aku bangun perlahan-lahan, memaksa setiap urat tulang bergerak untuk berdiri tegak. Ada helai rumput kering yang melekat di rambut dan belakangku, aku biarkan sahaja.
Berjalan masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Harith kehairanan.
‘Zanna. Are you okay?’ Dia bertanya perlahan, tangannya menyentuh bahuku.
Aku memandangnya, tersenyum nipis dan menggeleng kepala, aku meneruskan langkah masuk ke dalam rumah.
0 gossip (s):
Post a Comment