Kucing itu mengiau kepada aku. Dia macam memanggil aku untuk mengikutnya. Dia mengiau lagi. Kucing itu melompat naik, satu anak tangga demi satu anak tangga. Sampai di tingkat atas, dia mengiau kepadaku. Memang dia mahu aku mengikutnya.
Aku naik anak-anak tangga ke atas.
Tingkat dua.
Tingkat tiga.
Tingkat empat.
Tingkat lima.
Tingkat enam.
Kucing itu masuk ke dalam sebuah rumah yang pintunya sedia terbuka luas. Ada seorang perempuan di ruang tamu. Perempuan itu sedang bersandar di jendela.
Aku masuk.
Perempuan itu menoleh ke arahku. Dia tersenyum. Kucing tadi ada di dalam pangkuannya.
“Saya minta maaf....” kata perempuan itu kepadaku.
“Maaf?” Untuk apa? Aku pun tak faham.
“Saya buat awak sampai macam ni.... Saya tak berniat pun.”
“Siapa kau?” tanyaku.
“Saya betul-betul minta maaf.” Dia menjawab tanpa peduli soalanku. “Saya harap awak cepat sembuh.”
“Aku tak fahamlah!” Aku menekup kepala yang mula berdenyut kuat.
“Semua orang sayangkan awak,” kata perempuan itu lagi. Dia bergerak ke arah aku.
Aku mengundur diri beberapa langkah. Aku keluar. Kepala aku semakin sakit. Aku sampai ke tangga.
“Saya pun sayangkan awak.” Perempuan itu menghulurkan tangannya kepadaku. “Bangunlah.”
Aku undur beberapa langkah lagi. Kemudian aku jatuh dari tangga itu, ke bawah. Ke dalam gelap pekat. Aku menjerit tanpa suara.
Aku terus jatuh.
~
Aku terjaga.
Peluh dingin melebat di sekujur tubuhku. Nafasku kencang. Fikiranku berkecamuk. Mataku liar memandang ke sekeliling.
Ada seorang perempuan duduk, terpinga-pinga, di sebelahku. Bukan perempuan tadi.
“Beri aku kertas dan pensel!”
Perempuan rambut fringe itu menurut. Dia keluarkan buku nota kecil dan pen dari beg tangannya. Aku cepat-cepat mendapatkannya dan terus melukis.
Wajah perempuan tadi. Bujur sirih. Keningnya teroles kemas. Matanya bundar. Rambutnya panjang, lepas bahu. Bibirnya terulas cantik. Dia tersenyum dalam lukisanku yang sudah siap itu. Sempurna.
Peluh memercik di dahiku.
Aku suakan lukisan itu kepada perempuan yang duduk di tepiku. Aku tanya, “Siapa perempuan ni?”
“Saya tak kenal, Elijah.”
Seorang lagi perempuan masuk. Bukan perempuan tadi juga.
Perempuan rambut kerinting itu mendapatkan aku. “Elijah! Awak dah sedar?”
“Siapa Elijah?” tanyaku. “Siapa aku?”
0 gossip (s):
Post a Comment