1-56 Ayah?

“Hati-hati cikgu!”, terdengar suara Pak Mat dari belakang.

“Batu-batu kat sini licin”, Pak Mat memberi pesanan. Dia sudah sampai di sebelah aku. Kami jalan beriringan meredah sungai.

Aku hampir terjatuh tadi. Memang betul kata Pak Mat, batu-batu sungai ni licin!

Suasana sungguh tenang dan nyaman di kawasan air terjun Sepapan, satu jam perjalanan dari Pemberly. Guru besar ambil inisiatif anjurkan program dua hari untuk guru-guru dan staf sokongan sempena cuti sekolah. Baguslah, aku tak kenal ramai orang di sekolah dek kerana aku tak reti nak bersembang dengan orang yang aku belum kenal. Aku bukan macam Suri yang boleh beramah-mesra dengan semua orang, termasuk pakcik pengawal! Aku pun memang perlu keluar sekali-sekala dari rumah nombor 54. Entahlah, aku sudah tidak rasa gembira seperti dulu. Mungkin betul cakap Harley. Aku sudah berubah. Aku sudah jadi sangat emosi. Aku sudah jadi perempuan yang kuat menangis. Mungkin aku terlalu ikutkan perasaan. Mungkin aku tak sesuai jadi guru, tak pandai hadapi tekanan, tak yakin bila mengajar. Entahlah. Aku sendiri sudah tak faham.

“Tu, orang tangkap ikan,” Pak Mat tundingkan jari kearah sekumpulan budak muda. Aku pandang ke arah yang ditunjuk Pak Mat.

Aku senyum.

Pak Mat adalah pembantu makmal berusia hampir separuh abad yang sangat dihormati oleh warga sekolah, dari guru besar sampailah ke staf sokongan. Gaya pertuturannya, gerak tubuhnya melambangkan dia seorang lelaki yang bijak dan berpengalaman dalam hidup.

“Berani cikgu jalan sorang-sorang” Pak Mat soal sambil langkah lambat-lambat.
“Bosan duduk dalam chalet” aku jawab, perlahan.
“Kalau nak duduk dalam chalet je, baik tak payah datang. Ye tak?” Pak Mat senyum.

Aku ketawa kecil.
Tawa aku terhenti bila ternampak ada benda hitam di pergelangan kaki, sebesar kelingking bayi. Aku cuba kuis dengan jari. Sejuk! Benda hitam masih tergantung-gantung. Aku cuba tarik, tapi macam melekat dengan gam. Mungkinkah?

“Pak Mat!” aku jerit sambil pejam mata.

Aku pekup telinga sambil jerit “Pacat!”

“Dell! kat sini rupanya kau. Jenuh aku cari,” aku bukak mata dan nampak Suri.
“La, pacat pun takut ke?” Suri masih bercakap.
Aku jeling Suri.

“Dah takde, cikgu,” Pak Mat pandang aku.
“Terima kasih Pak Mat” aku nampak darah keluar tak henti-henti.
“Sikit je tu” Pak Mat bersuara lagi.

Darah masih tak berhenti. Aku tarik Suri, kami jalan di depan Pak Mat. Aku berjalan sambil memandang darah yang tak henti-henti keluar.

“Sweetnya Pak Mat! Aku suka tengok korang, macam ayah ngan anak!” bisik Suri

Ayah?

Otak gagal berfungsi dengan baik. Aku masih terpandangkan darah yang masih merembes keluar. Peluh sejuk sudah merembes dengan menggila di tengkuk. Aku menguap beberapa kali, kepala tiba-tiba terasa ringan.

“Eh, ayah kau kerja kat mana Dell?” sayup-sayup aku dengar suara Suri.

Ayah?

Semua objek depan mata menjadi kabur.

Aku paut Suri.

Dan semuanya gelap.

0 gossip (s):