Elijah Darcy dan Zanna

Tak tahulah sudah berapa kali aku terjaga, tidur, bangun lagi dan tidur semula. Sudah jam berapa sekarang? Sudah berapa haribulan? Sudah tahun berapa? Apakah perlu aku teruskan kehidupan sebegini? Aku tak berdaya untuk buat apa-apa lagi. Aku tak mampu. Aku tak sanggup!


Aku tak mahu hidup tanpa Mia!


Tanpa aku dapat tahan atau menyedarinya, aku menangis lagi. Kerana Mia. Mia. Mia. Mia....


Chloe masuk ke dalam pandanganku. Dengan deram manjanya, dia menjilat sisa air mataku. Dia menjilat ke seluruh wajahku. Alis mataku. Aku geli. Hidung. Aku geli. Pipiku. Geli. Telinga. Lagi geli! Aku tak dapat tahan geli. Aku ketawa! Selepas beberapa lama, air mataku merembes lagi. Kerana menahan ketawa! Sungguh-sungguh aku ketawa.


Chloe aku peluk erat-erat. Dia mengiau manja. Aku belai dia. Akhirnya Chloe tertidur di sisiku. Aku sendiri terjaga. Aku bangun menegakkan diri. Aku jenguk ke luar. Awal pagi menyapa aku dengan hari yang cerah.


Apakah aku mampu untuk menghadapi hari ini?


Lama aku diam memikirkannya. Mungkin juga aku tak berfikir apa-apa. Aku tak tahu apa yang patut aku fikirkan. Apa yang patut aku rasakan?


Aku putuskan untuk mencuba.


Aku turun dari katil. Aku tanggalkan pakaian yang sudah hapak dengan peluh dan air mata. Dingin rantai batu jed yang tergantung di leherku meresap ke dada.


Mia. Mia. Mia. Mia


Sejuknya cincin batu jed mencengkam di jari manisku.


Mia. Mia. Mia. Mia.


Apakah aku mampu untuk menghadapi kehidupan ini?


Sekali lagi aku putuskan untuk mencuba.


Aku kemaskan tuala di pinggang dan melangkah ke luar. Suasana ruang tamu sunyi. Tak ada sesiapa. Semuanya tersusun kemas. Seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini. Semalam? Dua-tiga hari lepas? Aku hilang panduan masa dan hari. Aku hilang arah.


Odelia.... Di mana dia?


Aku mahu ucap terima kasih kepada Odelia. Perlu! Kerana Odelia tak meninggalkan aku. Oh, di mana Odelia sekarang? Aku masuk semula ke bilik dan terus ke bilik mandi. Aku mahu bersiap-siap. Aku mahu cari Odelia.


~


Odelia tiada di rumahnya di tingkat empat.


~


Aku turun semula. Hampa. Di mana Odelia? Ke mana dia pergi? Bila dia akan pulang? Persoalan itu tinggal tak berjawab dengan langkah-langkahku menuruni anak tangga. Aku sampai ke tingkat tiga. Pintu rumahnya terbuka. Seorang perempuan rambut perang keluar.


“Hey, Merry Christmas!” Ucapnya untuk membuka bicara.

“Merry Christmas....” sambutku tanpa keterujaan. Sudah Krismas?

“Oh....” Perempuan itu meneliti aku. “You don’t really celebrate Christmas, do you? Sorry.” Dia putuskan sendiri. “You’re mixed?”

Aku angguk.

“Zanna.” Dia perkenalkan diri. Tangannya tak dihulur kerana sedang memegang plastik-plastik sampah.

“Elijah.” Aku balas sepatah namaku. Melihatkan dia terkial-kial mahu menutup pintu, aku tawar diri. “Biar aku tolong bawa sampah tu.”

“Oh, tak apa ke? Terima kasih....”

Aku dan Zanna melangkah turun.

“I sambut Krismas malam tadi. No Santa came though.” Zanna buka bicara lagi. Dia ketawa kecil. “Been a bad girl, I guess.”

Aku senyum.

Kami sampai ke tingkat dua.

“Lama tak nampak awak. Pergi mana?”

“Kahwin.” Aku jawab terus-terang.

“Congratulations!” Zanna sungguh-sungguh teruja. “Honeymoon ke?”

“My wife has already left me.” Aku terus-terang lagi. Nadaku keras. Entah. Rasa marah dan geram tiba-tiba meluap dalam diriku. Rasa mahu lepaskan segala-galanya. Biar semua orang tahu. Biar semua orang rasa.

Zanna diam. Langkahnya terhenti.

“I’m sorry.” Aku kembali waras. “I just need someone to talk to. I was looking for Odelia. Kau pula jadi mangsa.”

Kami sampai ke tingkat satu, di hadapan rumahku.

“Tak apa....” jawab Zanna. Dia tersenyum lemah. “I’m all ears too.”

Ak diam, tak dapat berkata apa-apa lagi.

Kami terus melangkah ke laman.

“Kau tahu ke mana Odelia?” tanyaku selepas beberapa lama.

“Last night, I saw her with a girl. Kawan kerja dia kot? Dia bawa beg besar. Mungkin balik kampung....”

Kami sampai ke pintu pagar utama. Mataku melorot ke tingkat empat. Semua tingkapnya bertutup rapat.

“She brought some boxes too. Takkan pindah kot?” tanya Zanna sendiri.


Odelia.... Kau pun sudah tinggalkan aku?

0 gossip (s):