1-88 Everybody Hurts


Sejak berjumpa Elijah pagi tadi, fikiranku sedikit tenang. Bukan kerana gembira dengan kisah sedihnya tetapi menyedari betapa normalnya aku untuk terluka dengan cinta. Elijah ditinggalkan isterinya, aku tidak bertanya lanjut, sekadar cuba menawarkan simpati. Odelia juga hilang, pindah agaknya, tidak sempat untuk aku minta maaf. Aku lihat ada kemuraman di wajah Elijah waktu aku beritahu dia tentang Odelia. Apa yang terjadi antara mereka agaknya?


Aneh, ada tenang yang wujud dalam diriku. Merasakan sengsara cinta itu adalah satu perkara yang normal. Dilalui oleh kebanyakkan orang dengan cerita masing-masing. Bukanlah perkara yang luar biasa.


When the day is long and the night, the night is yours alone,

When you’re sure you’ve had enough of this life, well hang on

Don’t let yourself go, cause everbody cries and everybody hurts sometimes


Lagu daripada R.E.M itu berkumandang dari radio, aku tersentak dan ketawa kecil sendirian. Kebetulan yang teramat sangat. Aku bangun menguatkan suara radio, dan kembali duduk di sofa. Amelia sudah pulang pagi tadi, katanya ada aktiviti keluarga yang dia perlu sertai. Aku pula tidak ada rancangan apa-apa hari ini, elok juga duduk di rumah. Aku capai telefon, mahu bercakap dengan ayah dan ibu di Jepun, tidak berangkat pula, agaknya ayah dan ibu sibuk melayan tetamu. Bagaimana dengan England? Sudah lewat malam, aku letakkan balik ganggang telefon tidak jadi mendail nombor Jack, rindu pada Jack, adik lelaki seorang itu. Sudah hampir setahun tidak bertemu sejak dia melanjutkan pelajaran di England.


Aku bangun pergi ke almari pakaian, mengambil album gambar bersaiz besar yang tersimpan kemas dalam rak dalam almari. Membawanya ke ruang tamu, dan aku duduk bersipuh atas sofa sambil membuka helai demi helai album tersebut.


Dalamnya ada gambar kami sekeluarga, gambar aku dan Jack dari kecil dan gambar-gambar ayah dan ibu ketika perkahwinan mereka. Aku tersenyum gembira. Kalaulah Ibu ada disampingku, sudah tentu aku akan bercerita semuanya kepada dia. Seperti biasa dia akan membelai rambutku dan membiarkan aku menangis di pangku ribanya, aku pasti itu, itu sahaja caranya ibu menenangkan aku, tidak perlu lebih. Apa sahaja masalah, apa sahaja kekeliruan yang timbul. Bila ayah menentang hasrat aku untuk berehat selepas habis A-Level untuk pergi mengembara, ibulah yang menyokong tindakanku menyebabkan ayah mengalah dan membiarkan aku mengambi cuti belajar dan mengembara ke seluruh dunia berseorangan. Bekerja sambilan bila duit sudah hampir habis, melawat tempat-tempat di Eropah, India dan China dan hampir setahun membuat kerja-kerja sukarela di Sudan. Sedang kawan-kawan lain menghabiskan masa muda mereka belajar di universiti, aku terlewat hampir dua tahun sebelum kembali menyambung pelajaran.


Ah, aku mengeluh perlahan, masa silam memang menyeronokkan, hanya berjalan-jalan, buat kerja yang disukai dan bimbangkan duit bila tiba masanya. Sekarang semuanya bercelaru dilanda kisah cinta. Aku ketuk kepala sendiri.


Bodohnya kau Zanna, yang kau jatuh cinta pada suami orang, siapa yang suruh.


Aku tutup album gambar dan letakkan atas meja kopi depan sofa. Aku bangun dan menuju ke balkoni. Radio sudah memutarkan lagu lain, entah lagu apa yang diputarkannya, macam tak siap sahaja bunyinya.


Aku memandang ke depan, cerah cuaca hari ini, air tasik tenang hanya sesekali berombak kecil ditiup angin yang kadang-kadang bertiup agak kencang. Pohon-pohon sekitar tasik meredupkan tasik dari matahari petang yang sedikit terik. Di atas jambatan kecil yang merentangi tasik, ada sepasang kekasih sedang memadu asmara. Aku tarik nafas, membiarkannya menyerap masuk ke seluruh peparu. Aku sukakan pemandangan dari balkoni ini, itu salah satu sebab yang menyebabkan aku menyewa rumah No.54 ini selain harganya yang aku mampu tampung dengan elaun peribadi dan elaun intership daripada Chick!


Aku masuk kembali ke ruang tamu,dan menuju ke bilik tidur. Mahu menyalin pakaian, petang-petang begini elok juga aku pergi berjoging. Seluar trek dan t shirt putih aku sarungkan, aku pakai kasut jogging yang sudah terperuk dalam almari berbulan lamanya. Radio aku offkan dan pintu rumah aku kunci. Kemudian bergerak turun ke bawah dan menuju ke arah tasik.


Aku streching untuk memanaskan badan sebelum berlari perlahan di sekitar tasik, tidak ramai orang yang bersenam petang ini. Cuti Krismas patut dihabiskan dengan orang tersayang bukan bersendiri seperti aku. Aku berlari hampir masuk pusingan ke tiga sewaktu aku melihat susuk tubuh perempuan yang aku kenal menghampiri aku. Peluh menitis dari dahiku.


Suzie?

0 gossip (s):