Aku rasa pening-pening lagi tadi. Selepas menolong Mia mengangkat stok buku lama dari setor, aku berehat di pantry. Tapi Mia suruh aku berehat di bilik tingkat atas. Awin, pembantunya yang chubby dan comel itu pun sudah masuk kerja. Pelanggan di Bookaholic pun tak ramai sangat, kata Mia. Jadi aku kononnya diberi cuti separuh hari. Mulanya aku tak mahu. Namun kepalaku tambah berdenyut-denyut. Mataku berpinar-pinar. Jalan pun macam terhuyung-hayang. Lalu aku ikut nasihat doktor peribadiku, Mia. Mia juga doktor cintaku. Eceh!
Sebelum naik ke atas, Awin beri aku sekotak cupcake. Awin kata itu hadiah kerana jaga Mia selama dua minggu ini. Awin kata dia tak pernah lihat Mia gembira macam sekarang. Dia tak pernah lihat Mia senyum macam sekarang. Dia tak pernah lihat Mia bahagia macam sekarang. Awin kata Mia jadi begitu kerana aku. Benarkah?
Aku cakap, Mia yang jaga aku dan bukan sebaliknya. Mia buat aku gembira. Mia buat aku bahagia.
Mia. Mia. Mia. Mia.
“Elijah sayang Mia dan Mia pun sayang Elijah,” kata Awin lagi. “Bestnya!”
“Awin pun best juga kerana beri aku cupcake yang cute ni...” sambutku. “Sangat cute macam tukang buatnya.”
Awin ketawa malu-malu. Dia tolak aku ke tangga. Kasar betul! Berpusing-pusing aku dibuatnya. Kepala aku makin pening. Perlahan-lahan aku panjat tangga ke bilik tingkat atas.
Sampai ke bilik, aku makan satu cupcake. Memang sedap. Tapi kepala aku masih pening. Aku makan ubat.
Aku cuba tidur. Lagi berdenyut kepala aku.
Aku mandi. Cuba baring-baring. Kepala aku rasa berpusing-pusing. Aku bangun dan turun ke Bookaholic. Aku mahu beritahu Mia yang aku ingin keluar ambil angin. Mia nampak sangat sibuk.
Ah, aku keluar sekejap sajalah!
Lalu aku membuka langkah tanpa tujuan yang pasti. Setiap langkahku melawan satu denyut kepala. Perlahan-lahan, kepalaku jadi ringan semula. Mungkin juga ubat yang aku makan tadi sudah memberikan kesan. Mungkin juga kerana persekitaran yang baharu dan segar. Aku pun sudah dua minggu terperuk di Bookaholic.
Aku terus berjalan.
Aku tak tahu aku sudah berada di mana. Aku menyusuri jalan di depanku. Lewat rumah-rumah kedai, taman, lorong-lorong sunyi dan sebuah tasik kecil. Kemudian aku sampai ke bangunan itu.
Bangunan flat enam tingkat di Jalan Pemberley. Nombor 54 terpampang di pintu pagar utamanya.
Inilah Rumah No. 54.
Inilah tempat tinggalku! Rumah aku! Benarkah?
Di pintu utama, aku lihat ada seekor kucing. Dia mengiau kepadaku.
Aku sudah kembali ke Rumah No. 54. Aku sudah pulang! Benarkah?
~
Aku naik tangga ke atas. Aku buka pintu. Aku lihat sekujur tubuh sedang baring memeluk diri. Aku dengar tangisan. Sayup-sayup dengan bunyi hujan lebat di luar.
Mia. Mia. Mia. Mia.
“Aku dah balik, Mia.”
“Awak tinggalkan saya. Saya tak cari awak sebab saya tak mahu awak anggap saya mengurung awak.” Suara Mia berselang-seli dengan tangis yang semakin reda. “Saya lepaskan awak, Elijah.”
“Aku dah balik...”
“Tapi saya tak mahu kurung awak lagi....” Mia bangun. Dia menyeka sisa airmata. “Saya relakan awak pergi.”
“But not in this weather, yes?”
Di luar masih hujan lebat. Aku pun sudah basah kuyup.
Untuk beberapa lama, Mia terdiam. Dia cuba memahami kata-kataku tadi. Kata-kata itulah yang aku ucapkan tak lama dulu. Sebelum insiden dengan Harith di Rumah No. 54. “Awak dah ingat, Elijah?”
Aku angguk, mengiyakan.
“I thought I lost you...”
“But I came back. I came back to you. And for you, Mia.”
0 gossip (s):
Post a Comment