Entah berapa lama aku melangkah tanpa hala tuju. Entah ke mana arahku. Entah di mana aku berada. Entah mengapa aku terus saja melangkah. Aku mencari yang satu. Isteriku. Mia Suzanna. Selagi belum berjumpa....
Mia. Mia. Mia. Mia.
Entahkan baru seminit. Entahkan sudah sejam. Mungkin sudah seharian. Mungkin juga hampir habis minggu. Bulan.... Tahun.... Kurun.... Abad.
Sampai eterniti.
Selagi belum berjumpa. Selama itulah aku akan mencari. Isteriku. Mia Suzanna.
Mia. Mia. Mia. Mia.
Aku ingin sangat bertanya: Mengapa Mia tinggalkan aku? Mengapa Mia cintakan Harith lagi? Tak cukupkah cinta aku seorang untuk Mia satu-satunya? Tak cintakah Mia pada aku?
Did she ever love me?
Mengapa Mia tinggalkan aku tanpa menjawab dulu soalan-soalan itu?
Did she ever care?
Aku tak tahu sudah berapa lama atau jauhnya aku berjalan. Akhirnya aku sampai ke sini juga. Ke Rumah No. 54.
Begitu lama aku berdiri di hadapan pintu masuk ke Rumah No. 54. Air mataku bercantum bersama peluh yang membalut pelosok tubuhku. Matahari sedikit condong ke barat.
Waktu itu aku sedar, seolah-olah baru jaga dari mimpi. Aku perhatikan ke tanah di hadapanku. Selepas sekian lama, aku sedar kembali.
Aku tak punya bayang-bayang!
Aku jatuh melutut di situ. Aku tak punya daya lagi. Aku tak punya Mia. Aku tak punya cinta. Aku tak punya bayang-bayang. Aku tak punya apa-apa. Aku tak punya siapa-siapa!
Mengapa semuanya tinggalkan aku?
Aku tak mampu menangis lagi. Sungguh aku tak berdaya apa-apa! Dengan sisa tenaga, aku menolak diri untuk bangun. Aku atur langkah perlahan kembali ke rumahku di tingkat satu. Di setiap langkahku masih ada nama Mia. Mia. Mia. Mia.
Aku mahu tidur. Aku mahu mimpikan Mia. Selama-lamanya. Aku mahu tidur selama-lamanya!
Sampai di pintu, aku lihat ada satu bungkusan berbalut kertas coklat. Ada nota bersamanya. Tanpa begitu peduli, aku ambil dan bawa masuk. Sempat aku baca notanya. Tertulis: Terima kasih, Elijah. Dari, Odelia. Aku buka bungkusannya. Ada sebuah telefon bimbit.
Untuk apa semua ini?
Soalan itu tak berjawab. Hanya diam yang mengisi ruang rumahku. Hanya senyap yang menemani kesunyianku.
Aku soroti pandanganku dengan seisi rumah yang sudah sekian lama aku tinggalkan. Tiada apa pun yang berubah. Masih ada sisa-sisa cat di sudut sana. Ada pinggan yang belum dibasuh. Di sudut sana bertimbun pakaian belum dilipat. Di atas permaidani ada gumpalan kertas-kertas lukisan. Di hujung sana ada sebuah potret kecil. Potret Mia dari kapur hitam.
Mia. Mia. Mia. Mia.
Untuk apa semua ini?
AHHHHHHHHHHHHHHHHHHH!!!
Aku campakkan telefon pemberian Odelia ke dinding. Berkecai! Aku tendang tin-tin cat minyak di lantai. Terpercik! Aku koyakkan potret Mia tadi. Hancur! Aku sendiri rebah melutut tanpa kuasa apa-apa. Luluh!
AHHHHHHHHHHHHHHHHHHH!!!
Aku jerit sekuat dan sepuas hati. Aku tak peduli lagi. Aku tak punya apa-apa rasa lagi. Untuk apa semua ini kalau aku akhirnya sendiri juga?
AHHHHHHHHHHHHHHHHHHH!!!
Jeritanku mati di situ. Di pintu yang terbuka luas, Odelia berdiri dengan Chloe di pangkuannya. “Elijah?” Dia masuk. Langkahnya terhenti selepas beberapa tapak. Matanya tertancap kepada cebisan telefon di lantai. Telefon hadiahnya.
Serentak itu jantungku turut terhenti.
Di mata Odelia, mula bergenang butir-butir jernih. Perlahan-lahan dia melangkah ke belakang. Dia melangkah untuk pergi. Dia berpaling keluar.
“Odelia.... Jangan tinggalkan aku. Please....”
0 gossip (s):
Post a Comment