1-76 Elijah Darcy ditinggalkan lagi

Aku tak bermimpi, kan?


Kelmarin....


Potret Mia sudah siap. Peluh merembes di dahi dengan calitan hitam terakhir di rambut Mia. Aku berdengus puas. Aku tepis peluh yang masih tergantung di hujung kening. Mataku menyeluruhi setiap inci di dalam bingkai empat segi di depanku. Siap. Semua warna yang tercurah ke atas kanvas itu menterjemahkan seorang Mia yang sangat cantik. Setiap garis membentuk sebuah kesempurnaan yang bernama Mia. Segala perasaan aku himpunkan dengan sepenuh kudrat untuk membuktikan cintaku pada seorang Mia. Semuanya ada pada potret itu. Semuanya untuk Mia.


Mia. Mia. Mia. Mia.


Aku ke bilik mandi dan membersihkan tangan yang berlumur cat. Aku basahkan muka untuk membuang penat. Aku teliti wajah yang sudah seharian tak berjumpa tidur, tak bercukur. Aku renung ke dalam mata hijauku sendiri. Aku sudah nekad. Kataku, Elijah Amru Darcy... kau akan lakukannya!


Aku sarungkan baju ke tubuh dan keluar. Tak lupa juga, aku bawa potret untuk Mia.


~


Di Bookaholic. Tanpa menunggu lagi, aku masuk ke dalam. Aku mencari Mia. Dia sedang menyusun buku di bahagian Romance.


Just perfect.


Aku atur langkah kepada Mia. Setiap satu langkah, tekadku makin bulat. Setiap langkahku bersama seru namanya.


Mia. Mia. Mia. Mia.


Aku persembahkan potret itu kepada Mia. Mia terkedu. Pandangannya tertancap pada potret besar itu. Kemudian dia menatap mataku. Dia merenung dalam-dalam. Masih diam, seperti menunggu aku untuk berkata.


Inilah saatnya.


“Mia Suzanna, will you marry me?”


“I will, Elijah Amru Darcy. I will.” Begitu jawab Mia. Tanpa sekelumit sangsi pun selepas tanyaku itu. Mia tersenyum. Sebutir permata jernih pecah di hujung matanya.


Mimpikah aku?


~


Semalam....


“Aku terima nikahnya, Mia Suzanna binti Abdullah dengan mas kahwinnya $143 tunai.”


Dengan sekali lafaz itu, melalui wali hakim di Masjid Besar Pemberley, aku diijabkabul bersama Mia. Tiada majlis besar-besaran bagi kami. Mia yatim piatu. Ibu bapaku pula sudah tiada. Cukuplah akad itu saja. Cukuplah kami berdua saja.


Cukuplah seorang Elijah Darcy untuk seorang Mia Suzanna.


Tiada juga bulan madu. Selesai akad nikah, aku dan Mia kembali ke Bookaholic. Bookaholic tutup sehari. Cukuplah. Aku dan Mia ke tingkat atas.


Malam itu malam pertama untuk aku dan Mia.


~


Hari ini....


Aku harap aku tak bermimpi.


Aku buka mata. Cahaya pagi memeluk tubuhku dari balkoni yang terbuka luas. Bayu dingin mendodoi aku supaya terus lena. Ada satu kelainan yang aku rasakan. Aku menegakkan diri.


Di meja tulis di tepi katil, terhidang secangkir kopi dan dua keping roti bakar. Telur separuh masak pun ada. Kopinya sudah suam.


Ada kelainan yang lain lagi.


Di dadaku ada seutas rantai berbatu jed bentuk empat segi. Motifnya bunga sakura. Rantai itu milik Mia.


Di jari manisku pula atas sebentuk cincin perak dengan batu jed. Warna mataku. Itu cincin perkahwinanku.


Aku tersenyum sendiri. Sememangnya aku tak bermimpi....


Ada kelainan lain lagi.


Di mana Mia, isteriku?

0 gossip (s):